Demikian perumpamaan terhadap pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS), Sara Sofea Muhammad Illaham yang mahu mengikut jejak langkah bapanya mencipta nama dalam dunia pendakian.

Gadis berusia 16 tahun dari Subang, Selangor itu akan menyertai ekspedisi menakluk puncak tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus di Rusia yang berketinggian 5,642 meter dari paras laut (dpl) pada 9 Ogos ini.

Pemergiannya ke sana akan diiringi oleh lima pendaki sokongan termasuk bapanya sendiri iaitu Muhammad Illaham Ishak yang merupakan pendaki Everest negara dan kini dalam misi menawan tujuh puncak tertinggi di setiap benua atau lebih dikenali sebagai ‘7 Summits’.

Dalam ekspedisi yang diberi nama Misi Ekspedisi Belia Merdeka 2020 itu, Sara Sofea menggalas tugas untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Elbrus sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-62.

MUHAMMAD ILLAHAM ISHAK yang sudah lima kali menawan puncak Elbrus menjadi sumber inspirasi kepada Sa
MUHAMMAD ILLAHAM ISHAK yang sudah lima kali menawan puncak Elbrus menjadi sumber inspirasi kepada Sara Sofea. 

Ketika ditemui dalam majlis pelancaran ekspedisi itu di Putrajaya baru-baru ini, Sara Sofea berkata, penglibatannya dalam aktiviti mendaki gunung memang tidak lain dan tidak bukan adalah berpunca daripada bapanya yang merupakan seorang pendaki berpengalaman.

“Sejak kecil saya tahu ayah adalah pendaki tegar dan banyak gunung di dalam dan luar negara telah ditawannya. Dari situ saya menganggap ayah sebagai idola dan cuba mengikut jejak langkahnya.

“Saya mula mendaki pada 2014 tetapi lebih serius dalam aktiviti ini sejak dua tahun lalu.

“Sepanjang mendaki, banyak kenangan yang saya tidak boleh lupa, antaranya pengalaman kali pertama menawan puncak Gunung Kinabalu pada tahun ini,” katanya.

Majlis pelancaran Misi Ekspedisi Belia Merdeka 2020 dan penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Zainal Abas.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Penasihat Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA), Zainudin Lot yang merupakan pengelola ekspedisi serta Pengetua SMSKS, Mohd. Shahadan Abdul Rahman.

Sara Sofea bakal mencatat nama sebagai pendaki termuda dari Asia Tenggara yang menjejakkan kaki di puncak Elbrus jika berjaya menawan gunung tersebut yang turut tersenarai dalam 7 Summits.

Mengulas mengenai persiapan ke Elbrus, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia mula menjalani latihan fizikal termasuk mendaki gunung sejak dua tahun lalu.

Dia juga menjalani latihan penyesuaian cuaca sejuk dan altitud tinggi di Gunung Fuji, Jepun dan Gunung Kinabalu, Sabah.

“Jadual latihan lengkap yang saya lalui selama lebih dua tahun di bawah tunjuk ajar dua jurulatih diharap dapat membantu saya melancarkan misi ini.

“Yang penting sekarang adalah persediaan mental memandangkan laluan pendakian yang jauh selain keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut salji dan suhu di paras bawah beku iaitu -30 darjah Celsius.

“Cabaran lain kemungkinan berlaku runtuhan salji di lereng pergunungan,” jelasnya yang turut menjalani latihan di Gunung Tahan di Pahang, Gunung Datuk (Negeri Sembilan) dan Gunung Korbu (Perak),” katanya yang bercita-cita menjadi pakar bius.

Sementara itu Muhammad Illaham memberitahu, anaknya itu telah diuji dengan pelbagai tahap ketinggian kesejukan bagi menilai penerimaan badannya di altitud tinggi.

Berdasarkan latihan yang dilakukan di Gunung Fuji dan Gunung Kinabalu, beliau yakin anaknya sudah bersedia untuk menempuh cabaran lebih ekstrem di Gunung Elbrus.

“Saya sendiri sudah lima kali mendaki Gunung Elbrus. Walaupun dikategorikan sukar tetapi masih boleh dilakukan pendaki baru seperti Sara Sofea.

“Persiapan rapi sudah dibuat dan kita berserah sahaja kepada Tuhan ketika di sana supaya kami dapat mengharungi pendakian dalam cuaca baik, tiada gangguan kesihatan dan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Muhammad Illham baru-baru ini berjaya menawan puncak tertinggi di benua Amerika Utara iaitu Gunung Denali di Alaska.

Dalam misi 7 Summits bersama seorang lagi rakan pendaki iaitu Zainudin, hanya berbaki satu lagi puncak yang perlu ditawan iaitu Gunung Vinson Massif yang merupakan puncak tertinggi di benua Antartika.