Shahida berkata, beliau memulakan perniagaan Oh My Donut di rumah bersama suaminya, Wan Shahrizan Wan Ali, 38, pada April 2015 ketika menetap di Gelang Patah, Johor.

“Pada awalnya kami bercadang menjual roti, namun persaingannya agak banyak dan saya kemudian memilih untuk membuat enam jenis donat mini termasuk coklat almond dan keju.

“Saya membelanjakan RM380 untuk mengikuti kursus sehari membuat donat secara individu,” katanya kepada Mega Rona.

Biarpun pada dasarnya membuat donat itu mudah, namun Shahida berdepan ujian awal apabila terpaksa melakukan banyak percubaan sebelum mendapat hasil yang berkualiti.

Selain itu, awal perniagaannya juga kurang menjadi apabila jualan donat di rumah tidak mendapat sambutan sehingga modal RM3,000 hangus begitu sahaja.

“Saya tidak putus asa. Saya kemudian memulakan promosi di luar kawasan sehingga mendapat tempahan 300 biji untuk satu program kanak-kanak,” ujarnya.

Bermula dari itu, Shahida dan suami mula menjual donat mini di luar kawasan dari rumahnya dengan mengikuti aktiviti kemasyarakatan dan program anjuran pelbagai agensi kerajaan.

“Alhamdulillah, perniagaan saya yang bermula dengan satu kilogram (kg) tepung gandum sehari telah meningkat hingga 25 kg seminggu setelah menerima banyak tempahan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau terpaksa beralih angin apabila pulang ke Jerantut untuk menjaga arwah bapanya, Abu Bakar Mohd Zuki yang jatuh sakit pada Jun 2016 sebelum meninggal dunia pada Oktober 2017.

Disebabkan perniagaan donat mini menjadi sumber pendapatan utamanya, pasangan suami isteri itu menjalankan perniagaan secara atas talian dengan menghantar donat dari rumah ke rumah mengikut tempahan pelanggan di sekitar Jerantut.

Berkat menjaga ayahnya yang sakit sebelum ini, donat Shahida dipasarkan di sebuah kedai kek di bandar Jerantut pada September 2016 hingga Jun 2017 sebelum beliau berniaga sendiri di Kiosk Pasar Tani Jerantut, kira-kira empat bulan kemudian.

Setelah perniagaannya semakin maju, Shahida mengambil keputusan menyewa satu lot kedai di Bandar Inderapura, Jerantut pada Julai 2018. Mereka menawarkan 15 jenis donat kepada pelanggan, selain turut menyediakan perkhidmatan vendor untuk menjual makanan yang dihantar oleh orang lain.

“Saya dan suami buat donat seawal pukul 3 pagi. Harga donat mini adalah RM1.30 sebiji, manakala kombo sembilan biji (RM10). Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan dengan caj RM1,” katanya.

Pilihannya ternyata tepat apabila bilangan pelanggan semakin bertambah. Beliau kini membuka mini kafe di hadapan Pasaraya Sakan dengan jualan mencecah 400 hingga 500 biji donat sehari.

Demi memenuhi permintaan pelanggan, Shahida menambah lima jenis donat baharu, termasuk menyediakan makanan ala barat.

Kedainya beroperasi pada hari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 10.30 pagi hingga 5.30 petang dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai donat mini itu, boleh layari Facebook Oh My Donut.