Teknik-teknik pemasaran yang betul harus dikuasai dengan baik tidak kiralah perniagaan apapun dijalankan agar ia dapat terus berkembang di samping mengelakkan terkandas di tengah jalan.

Itulah yang diakui oleh pemilik butik barangan bayi jenama Yons, Mohd. Zuhri Mohd. Sahrin yang menjalankan perniagaan tersebut sejak 2013 bermula dengan modal hanya RM3,000.

MOHD ZUHRI MOHD SAHRIN dan isteri, Yon Thania Samat.
MOHD ZUHRI MOHD SAHRIN dan isteri, Yon Thania Samat.

Menurutnya, perniagaan yang dijalankan sejak enam tahun lalu pada mulanya hanya menggunakan platform digital iaitu Instagram dan Facebook sebagai medium pemasaran.

Katanya, wang sebanyak RM700 mula diperuntukkan olehnya dan isteri bagi mempelajari teknik-teknik memasarkan produk secara dalam talian (online) menerusi Facebook dan Instagram.

“Semua orang menganggap perniagaan atas talian mudah kerana kebanyakan pengguna gemar memilih medium ini untuk membeli-belah.

“Namun, usahawan tidak boleh ambil mudah. Ini kerana tanpa teknik-teknik pemasaran, perniagaan atas talian juga kemungkinan tidak akan berjaya,” katanya kepada Mega Rona.

Tambahnya, perniagaan butik bayi miliknya kini mempunyai enam buah cawangan di Rawang, Kuching, Johor, Sungai Besi, Saujana Utama dan Taman Melati selain terdapat dua buah gudang yang terletak di Taman Ukay Perdana, Ampang.

Mengulas lanjut, perniagaan tersebut pada mulanya diusahakan isterinya selaku pengarah urusan, Yon Thania Samat.

“Isteri saya merupakan seorang pensyarah dan mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya itu bagi memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan butik ini.

“Pelbagai jenis set barangan bayi dan ibu berpantang dijual seperti kereta sorong bayi, botol susu, baju bayi dan banyak lagi bagi memenuhi pasaran barangan bayi,” katanya.

Mohd. Zuhri memberitahu, mereka memilih perniagaan barangan bayi kerana kajian beliau terhadap pasaran tersebut mendapati permintaan terhadap barangan bayi sentiasa konsisten.

“Laporan bahagian statistik Malaysia menunjukkan kadar kelahiran bayi di negara ini adalah tinggi iaitu tiga orang bagi setiap tiga minit.

“Selain untuk perniagaan jangka masa panjang, barangan bayi juga tidak mempunyai trend berbeza yang tidak akan memberikan sebarang impak drastik kepada perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Mohd. Zuhri yang merupakan Presiden Business Network International (BNI) Malaysia berkata, perniagaannya yang kini berkembang pesat turut mempunyai pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi sebelum benar-benar stabil seperti yang dinikmati hari ini.

“Antara cabaran yang pernah saya hadapi adalah kes pecah amanah yang dilakukan pekerja yang akhirnya menyebabkan kerugian.

“Disebabkan ada banyak cawangan di pelbagai tempat, kami tidak mampu memantau semua pergerakan pekerja. Namun, kecurian dan penipuan berjaya dikesan apabila kami mengemas kini akaun perniagaan,” katanya.

Tambahnya, mengusahakan perniagaan sendiri mampu menjana pendapatan yang tinggi. Namun, sebagai pemilik perniagaan, kadang kala beliau hanya tidur kira-kira dua jam sehari bagi memastikan perniagaan yang diusahakan berjalan lancar.

“Memang permulaan sesebuah perniagaan agak perit sebelum stabil. Bagaimanapun kita tidak seharusnya mudah putus asa apabila menghadapi masalah.

“Sebaliknya, cuba berusaha menyelesaikan sesuatu perkara, bukannya melarikan diri apabila menghadapi kesulitan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mengembangkan perniagaan pada masa hadapan, Mohd. Zuhri merancang memfran­caiskan pernia­gaannya kepada usahawan lain yang berminat untuk melibatkan diri dalam perniagaan barangan bayi.

“Perkara tersebut masih di peringkat perancangan dan kami juga mendapatkan tunjuk ajar daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di bawah program francais perniagaan,” katanya.