Apa yang mengujakan adalah program itu melibatkan enam aktiviti iaitu via ferrata, abseiling, rock climbing, flying fox, jumaring dan meneroka gua yang diadakan di sekitar kawasan yang dinamakan Paya Gunung Extreme Park.

Aktiviti utama adalah via ferrata iaitu menempuh laluan lereng bukit yang dilengkapi kemudahan tangga besi dan kabel bagi menakluk Puncak 1 dan Puncak 2 iaitu dua puncak bukit batu kapur di Kampung Paya Gunung.

Bagi melengkapkan pendakian ke Puncak 1, peserta perlu menuruni lereng bukit menggunakan teknik abseiling dalam jarak kira-kira 25 meter termasuk tergantung beberapa meter sebelum kaki dapat memijak semula lereng bukit batu kapur tersebut.

Pendakian ke Puncak 2 pula menuntut keberanian luar biasa untuk memanjat tangga besi yang curam dan meniti lereng dengan memaut pada kabel yang disediakan. Setiap peserta memakai peralatan khas bagi tujuan keselamatan seperti abah-abah (harness), topi keselamatan dan landyard iaitu dua cangkuk besi yang digunakan untuk memaut pada kabel dan perlu dialihkan mengikut jarak tertentu sepanjang berjalan meniti lereng bukit tersebut.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Dewina Trading Sdn. Bhd., Mohamad Fazil Othman berkata, aktiviti via ferrata merupakan aktiviti pertama dianjurkan Brahim’s sejak jenama makanan sedia untuk makan itu mula menganjurkan program lasak dan santai pada 2017.

Katanya, sebelum ini, pihaknya hanya mengadakan program mendaki gunung seperti Gunung Nuang, Bah Gading, Tapis, Ledang, Stong, Ayam, Baha serta Cemerung Berembun dan Langsir (CBL).

“Ini kali pertama Brahim’s mengadakan program mendaki bukit batu kapur menggunakan laluan via ferrata. Program ini bukan sahaja menguji tahap kegayatan peserta, malah menuntut keberanian luar biasa peserta bagi menggapai kedua-dua puncak tersebut,” katanya kepada S2.

Via ferrata berasal dari perkataan Itali yang bermaksud laluan besi melibatkan lereng bukit atau gunung. Di sepanjang laluan itu terdapat anak tangga, rel dan kabel yang dilekatkan pada permukaan batu. Di beberapa tempat peserta perlu menggunakan teknik abseiling untuk menuruni cerun.

Terdapat lebih 300 laluan via ferrata di seluruh dunia dengan yang tertinggi terletak di Gunung Kinabalu, Sabah. Ketinggian via ferrata di gunung itu bermula dari paras 3,400 meter dan berakhir pada ketinggian 3,800 meter.

Setakat ini terdapat dua via ferrata di Malaysia iaitu di Gunung Kinabalu dan Bukit Paya Gunung yang terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Jerantut, Pahang.

Bukit batu kapur yang salah satu puncaknya terletak di ketinggian kira-kira 59 meter itu terletak di Kampung Paya Gunung dan kini menjadi tarikan baharu sektor pelancongan negeri Pahang menerusi aktiviti tali seperti rock climbing, flying fox, mendaki, eksplorasi gua dan perkhemahan.

Kemudahan yang disediakan di kaki bukit yang dinamakan Paya Gunung Extreme Park itu adalah tapak perkhemahan, tandas, surau dan dewan makan terbuka.

Pada hari terakhir program, Pengarah Urusan Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim meluangkan masa melawat peserta dan menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta, instruktor dan kru teknikal dari Persatuan Mendaki Kuala Lumpur.

Bagi menjamin keselamatan pendaki, pihak Brahim’s melantik instruktor berpengalaman dan berkemahiran dan telah menerima pengiktirafan serta pensijilan daripada Persekutuan Mendaki Asia Tenggara (SEACF). Kru teknikal diketuai oleh Abu Huzaifah Jalaludin dan Roslan Rasli selain dibantu kru teknikal dari Kelab Paya Gunung Extreme Park, Mohamad Shahrol Azuwan Abdullah dan Mohd. Faizal Arif Shah (Apek) serta beberapa kru lain.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazil berkata, peserta turut dihidangkan dengan makanan sedia untuk makan iaitu peserta hanya perlu mendidihkan bungkusan makanan Brahim’s selama beberapa minit sekali gus menjimatkan masa untuk memasak.

“Tak perlu ambil masa yang lama untuk memasak. Brahim’s bekalkan setiap peserta set makanan kembara sama ada set ayam atau set daging untuk sepanjang program berlangsung selama tiga hari dua malam. Jadi, peserta dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menjalankan aktiviti,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga menggunakan pes ayam tandori sebagai bahan perapan ayam dan pes asam pedas bagi ikan talapia untuk dibakar pada hari pertama dan kedua program.

“Untuk perap ikan, boleh tambah daun kesum dan bunga kantan bagi membangkitkan aroma yang lebih lazat. Kami juga menggunakan pes sambal tumis sebagai perencah mi goreng untuk sarapan hari terakhir program,” tambahnya.

Program anjuran Brahim’s akan datang ialah ke Pulau Perhentian pada September, mendaki gunung (Oktober) dan via ferrata Langkawi (Disember) ini. Mereka yang berminat boleh melayari Facebook Brahim’s untuk pendaftaran peserta.