Sebagai persediaan awal seseorang jurufoto perlu mengenal pasti lokasi selain membawa bersama kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR), telephoto dan wide angle lens untuk kegunaan merakam suasana yang indah itu.

Lokasi rakaman memerlukan penelitian bagi kesesuaian seperti di celah-celah bangunan atau di tempat yang tinggi. Setelah mengenal pasti lokasi, cuaca yang baik juga amat diperlukan untuk merakam detik-detik matahari terbenam. Sebelum bidikan dibuat pastikan setting kamera berada pada kelajuan tetingkap, bukaan cahaya dan ISO yang betul. Penggunaan tripod adalah amat digalakkan bagi menghasilkan gambar lebih menarik. Tempoh untuk merakam subjek ini terlalu singkat, cuma beberapa minit sahaja sebelum matahari terbenam dengan sempurna.

Untuk lebih menarik lagi, seseorang jurufoto juga perlu mengenal pasti bangunan-bangunan ikonik yang boleh dijadikan subjek utama selain matahari. Bagi mendapatkan warna cahaya matahari terbenam yang sebenar, kelajuan tetingkap adalah antara 1/650 hingga 1/800 dan untuk bukaan cahaya f 5.6 hingga f 8.0 dan ISO antara 400-500.

Ini kerana suhu cahaya ketika itu berada dalam keadaan agak tinggi iaitu lebih kurang 5,000 hingga 8,000 calvin.

Bacaan mengukur cahaya perlu dibuat dengan tepat kerana suasana matahari terbenam hanya berlaku antara lima hingga 10 minit sahaja. Oleh itu ketepatan mengukur suhu cahaya perlu dilakukan dengan cepat untuk merakam detik menarik pada waktu berkenaan.

Kadang kala di sekeliling terdapat orang ramai yang turut melihat matahari terbenam dan mereka juga boleh jadikan sebagai subjek dalam menghasilkan gambar lebih menarik. Anda jangan kecewa jika di kaki langit terdapat banyak awan. Cahaya matahari terbenam yang terpancar di celah-celah awan sebenarnya boleh menjadi imej yang menarik lebih-lebih lagi jika garisan cahaya tersebut menyuluh bangunan ikonik yang berada di lokasi pengambaran.

Aktiviti merakam matahari terbenam dalam kawasan bandar memerlukan kepakaran dan ketelitian yang tinggi berbanding merakam matahari terbenam di kawasan pantai. Paling penting bagi mendapatkan gambar yang menarik sewaktu matahari terbenam, jurufoto juga perlu berada di satu lokasi yang tepat seperti atas bukit atau di tepi jalan berhampiran sebuah bangunan bagi merakam suasana tersebut.