Menunggang motosikal yang mempunyai reka bentuk berbeza berbanding motosikal berkuasa tinggi lain memerlukan jiwa yang kental dan kemahiran yang tinggi memandangkan kesukaran untuk mengawalnya.

Tidak dinafikan menunggang motosikal ini tanpa pengetahuan yang mencukupi sebenarnya agak berbahaya terutama ketika beraksi di laluan hutan yang mempunyai keadaan fizikal bergunung-ganang.

Jatuh dari motosikal ketika beraksi adalah perkara biasa yang mungkin pernah dialami oleh setiap penunggang motosikal lasak ini yang sudah pasti tidak menjadi penghalang kepada minat terhadap aktiviti sebegini.

Itu diakui oleh pencinta motosikal lasak, Muhamad Anuar Maspan, 31, yang sering menunggang di dalam kawasan hutan dengan rakan-rakannya setiap kali mempunyai masa lapang.

Menurutnya, aktiviti menunggang motosikal lasak kebiasaannya dilakukan bersama-sama ‘geng’ motosikal itu atau rakan-rakan yang meminati motocross.

Penunggang akan mula membina lingkungan kenalan baharu dengan sesiapa sahaja yang mereka jumpa di dalam hutan bagi merancang aktiviti baharu pada masa hadapan.

“Sudah menjadi lumrah aktiviti yang kami lakukan akan menghadapi pelbagai cabaran seperti perlu meredah sungai, keadaan fizikal muka bumi hutan yang tidak sekata, mendaki bukit yang tinggi selain menempuh tanah berselut.

“Namun, tidak menjadi sebarang masalah bagi mereka yang sudah biasa dengan ekspedisi di dalam hutan. Namun, bagi mereka yang baru mencuba aktiviti ini mungkin akan mengalami sedikit kejutan,” katanya.

Mengulas lanjut Muhamad Anuar yang sudah dua tahun berkecimpung dalam aktiviti lasak ini memberitahu bahawa bagi yang baru ingin mencuba seeloknya perlu ditemani oleh tiga orang rakan yang mempunyai minat sama kerana jika kemalangan berlaku mereka dapat dibantu oleh rakan-rakan tersebut.

“Aspek keselamatan perlu dititikberatkan kerana sebarang kemungkinan boleh terjadi. Bagi saya sendiri semasa mula-mula mencuba aktiviti ini rasa hendak pitam kerana terlalu penat.

“Aktiviti ini memang memerlukan stamina yang tinggi untuk mengendalikan jentera berat ini.

“Mana tidaknya, hendak mendaki gunung guna motosikal bukanlah mudah terutama dengan motosikal ini yang agak berat,” katanya.

Baru-baru ini Muhamad Anuar bersama sekumpulan rakan telah melakukan ekspedisi off road ke hutan di Ulu Rening, Hulu Selangor; Kerling; Sungai Rasa dan Kuala Kubu Bharu bagi menunggang motosikal secara beramai-ramai.

“Aktiviti menunggang motosikal di dalam hutan melibatkan aktiviti meredah sungai, mendaki bukit bersama motosikal dan bersantai mengikut laluan lori balak atau sawit.

“Kami bergerak secara beramai-ramai dari satu lokasi ke satu lokasi yang berbeza menggunakan jalan hutan dan ada satu ketika kami akan berhenti berehat di sebatang sungai untuk berkelah sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Tambah Muhamad Anuar, aktiviti lasak yang dilakukan setiap kali mempunyai masa terluang terutama ketika cuti hujung minggu diadakan bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan dengan rakan, malah dapat menghilangkan tekanan kerja dengan cara yang unik.

“Seramai 11 orang rakan menyertai aktiviti ini dan kesemua mereka memang suka aktiviti yang mencabar dan lasak bagi memenuhi minat masing-masing.

“Memang saya akui menunggang jentera berat ini di dalam hutan lipur nampak senang, namun sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah terutama dari segi pengendalian motosikal,” katanya.

Elak bahaya dengan melompat

Kemalangan atau sebarang kecelakaan boleh berlaku semasa menunggang motosikal lasak terutama dalam keadaan fizikal bumi yang tidak berapa baik.

Namun, beberapa cara boleh dilakukan bagi mengelakkan sebarang kecederaan yang lebih serius menggunakan teknik-teknik menunggang yang betul di samping peralatan yang mencukupi.

Menurut Muhamad, jika hendak terjatuh semasa menunggang motosikal, penunggang perlu melepaskan pegangan motosikal bagi mengelakkan kecederaan serius.

“Jangan berpaut pada motosikal semasa hampir tumbang, sebaliknya terus melepaskan pegangan dan melompat dari motosikal bagi mengelakkan daripada dihempap jentera berat ini.

“Selain itu memakai kelengkapan yang bersesuaian seperti topi keledar dan but juga penting. Kasut yang tidak sesuai boleh terkoyak dan ini tidak bagus untuk keselamatan penunggang,” katanya.

Tambahnya, cabaran yang paling getir buat penunggang motosikal lasak adalah masalah teknikal seperti keadaan fizikal jalan raya yang masih baharu dan tidak berturap selain selut yang senang mendap.

“Bagi menghadapi cabaran ini, setiap ahli perlu bekerjasama iaitu saling membantu semasa mengadakan konvoi di dalam hutan dan perkara inilah yang akan menjayakan sesuatu ekspedisi.

“Dalam masa sama, kita dapat lihat cabaran ini sebenarnya mampu memupuk sikap toleransi dalam kalangan rakan-rakan iaitu tanpa kerjasama kesemua mereka tidak mampu meredah hutan belantara sendirian,” katanya.

Mengulas lanjut Muhamad Anuar memberitahu, terdapat banyak kelas yang ditawarkan untuk belajar mengenai teknik mengendalikan motocross dengan cara yang betul.

“Bagi mereka yang ingin berjinak dengan aktiviti motocross digalakkan untuk belajar dahulu cara mengendalikan motosikal lasak supaya dapat membiasakan diri apabila meredah hutan.

“Sekiranya tidak mempunyai asas yang mencukupi, kemungkinan penunggang akan berasa letih kerana tidak biasa dan mungkin akan berasa hendak pitam,” katanya.