Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihak­nya sedang berusaha me­ngu­rang­kan jurang antara tempahan dan penghantaran kepada pelanggan.

Menurut beliau, Perodua juga berjaya mempercepatkan purata penghantaran Aruz ­kepada 110 kenderaan sehari berban­ding 100 buah sebelum ini.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal untuk mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran.

“Perodua sedang bertungkus-lumus memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu para pelanggan. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kecekapan bahan api Aruz iaitu 15.6 kilometer bagi setiap liter merupakan yang terbaik dalam segmennya dan membolehkan model itu diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Aruz diperakui dengan penarafan keselamatan maksimum ASEAN NCAP lima bintang menerusi ciri-ciri keselamatan seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Bantuan Keselamatan Termaju 2.0 pada varian AV.

Mengenai jualan Perodua, Zainal Abidin berkata, pihaknya telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei berdasarkan kiraan dalaman.

Katanya, jumlah jualan lima bulan pertama tahun ini adalah 105,743 kenderaan, melonjak 8.5 peratus berban­ding 97,487 ken­deraan pada tempoh sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, jumlah ini tertakluk kepada angka rasmi yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

“Kami me­ngucapkan terima kasih kepada pembekal komponen tempatan yang telah membuktikan kebolehan mereka dengan meningkatkan pengeluaran dan mengekalkan kualiti bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap mo­del-model Perodua yang kesemuanya mengandungi lebih 90 peratus komponen tempatan,” ujarnya.