Namun, siapa sangka pertubuhan tersebut bukan sekadar kelab permotoran wanita yang biasa dan bersifat suka-suka, malah ia sebenarnya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh pemilik-pemilik motosikal wanita dari seluruh negara.

Paling memberangsangkan mengenai kelab yang dianggotai kesemua wanita ini adalah mereka aktif melakukan pelbagai kerja amal bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Mereka yang sememangnya serasi bersama tanpa mengira latar belakang dan jenis motosikal yang digunakan, mempunyai misi yang sama iaitu mengumpul golongan wanita yang gemar menunggang motosikal dan diselitkan dengan aktiviti amal.

Begitu yang diceritakan oleh Presiden LBM, Alia Aisyah Mohd. Yunos mengenai kelab motosikal berkenaan. Menurut Alia Aisyah lagi, baru-baru ini mereka telah menganjurkan aktiviti menunggang motosikal secara beramai-ramai ke Sumatera Barat, Indonesia bagi memberi peluang golongan wanita meneroka negara lain dengan menunggang motosikal.

“Kami membawa seramai 16 orang ahli untuk memberi peluang kepada mereka meneroka negara lain dengan motosikal di samping membuat kerja-kerja amal.

“Ini bukan kali pertama aktiviti sebegini diadakan kerana sebelum ini kami bekerjasama bersama Ladybikers Singapura menunggang motosikal sambil beramal di Kemboja,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, aktiviti yang diadakan itu mengambil masa selama lima hari melibatkan penjelajahan menunggang motosikal pelbagai jenis yang disewa dengan harga RM130 sehari.

“Program ride lima hari empat malam ini melibatkan kawasan Padang, Bukittinggi dan Sawahlunto. Kami singgah di sebuah rumah anak yatim di sana bagi menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan.

“Wang yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti amal kebiasaannya menggunakan dana kami sendiri yang disumbangkan oleh setiap ahli mengikut kemampuan,” katanya.

Tambahnya, cabaran terbesar menunggang motosikal sepanjang berada di sana adalah keadaan jalan raya yang mempunyai selekoh tajam dan berbahaya serta berbukit bukau.

“Meskipun agak berbahaya, pemandangan sepanjang aktiviti di sana sangat cantik kerana dapat melihat kawasan itu dengan lebih dekat.

“Kami amat berpuas hati dapat melakukan aktiviti yang diminati di samping membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Erat silaturahim, jalin kasih sayang

Sebuah kelab permotoran yang dianggotai oleh wanita sahaja sudah cukup menimbulkan persepsi dan keraguan dalam kalangan masyarakat sama ada mereka mampu menunggang motosikal dengan baik atau sebaliknya.

Namun, kesemua ahli LBM tidak mahu `ambil pusing’ mengenai persepsi masyarakat kepada mereka dengan tampil berani untuk melibatkan diri dalam aktivit-aktiviti lasak ini.

Menurut Alia Aisyah, kelab permotoran yang ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu adalah platform yang mengumpulkan penunggang motosikal wanita dari seluruh Malaysia tanpa mengira kuasa dan jenis motosikal.

“Cukup sekadar anda seorang wanita dan mempunyai minat dalam motosikal serta seorang yang periang dan sanggup terlibat dalam acara yang dianjurkan sudah cukup untuk melayakkan anda menyertai kelab ini.

“Mereka yang menyertai kelab ini adalah seorang ibu, kaka dan adik yang mempunyai minat sama iaitu gemar melakukan aktiviti lasak dengan motosikal,” katanya.

Tambahnya, kelab berkenaan yang mempunyai lebih 100 orang ahli banyak melakukan aktiviti amal di seluruh negara bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik.

“Antara aktiviti amal tersebut adalah misi bantuan banjir di Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan, Tunggangan Amal (Charity Ride) Jelajah Kasih (melawat pesakit strok dan fakir miskin), Jelajah Kembara Merdeka, program membersih dan mengemas rumah anak yatim dan banyak lagi.

“Tidak dinafikan pelbagai aktiviti amal ini memerlukan kerjasama yang erat dalam kalangan ahli dan secara tidak langsung memupuk silaturahim antara kami,” katanya.