Sebaik sahaja motosikal meluncur laju di lebuh raya, disapa pula aliran angin kuat dan ditambah bunyi deruman enjin memang memberikan satu kepuasan yang hanya boleh difahami oleh penunggang motosikal.

Itu juga yang dirasai sekumpulan anak muda sehingga timbul idea untuk mengumpulkan rakan-rakan pejabat yang berkongsi minat sama iaitu bermotosikal besar dan mengadakan aktiviti konvoi santai di hujung minggu.

Menurut Muhamad Shazzwan Abd. Halim, asalnya mereka bertemu sekadar aktiviti melepak selepas waktu pejabat, tetapi berkembang menjadi satu kumpulan Geng Pejabat yang rata-ratanya kini memiliki motosikal berkuasa tinggi.

“Mulanya, kami menunggang (motosikal) kapcai sahaja. Paling besar pun motosikal berkapasiti 200 cc dan 250cc, tetapi kemudian seorang demi seorang menukar kepada motosikal lebih besar.

“Konvoi pertama adalah per­jalanan santai ke Cherating, Pahang dan selepas itu kami membuat keputusan untuk menubuhkan kumpulan ini, hanya dianggotai oleh rakan-rakan sepejabat yang berkongsi hobi dan minat serupa iaitu motosikal berkuasa besar,” katanya.

Muhamad Shazzwan berkata, buat masa ini terdapat hanya 11 orang ahli di dalam kumpulan tersebut dan angka itu dijangka bertambah memandangkan ramai teman sepejabat mula menunjukkan minat untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi itu.

Jelasnya, setakat ini, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2016 itu telah mengadakan lebih 10 konvoi dengan yang terbaharu adalah perjalanan ke Pulau Pinang pada 26 Januari lalu.

Katanya, mereka merancang untuk mengadakan konvoi seku­rang-kurangnya sekali dalam setiap bulan walaupun sekadar Breakfast Ride ke destinasi berdekatan seperti di Sungkai, Perak dan Janda Baik, Pahang.

“Setiap aktiviti perlu dirancang dengan teliti kerana sebolehnya kami mahu semua ahli berpeluang menyertai setiap konvoi yang diadakan.

“Biarpun hanya mempunyai 11 ahli, bukan senang untuk mengumpulkan semua orang dalam satu masa kerana masing-masing mempunyai komitmen lain termasuk aktiviti bersama kelab motosikal mereka,” katanya.

Muhamad Shazzwan berkata, perjalanan berkonvoi memang sangat menyeronokkan apatah lagi jika disertai oleh semua ahli. Bagi perjalanan jauh, mereka akan kerap berhenti rehat dan itulah yang membuatkan perjalanan tersebut tidak terasa penat.

Mereka juga sangat mengambil berat dan mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakan lain semasa dalam perjalanan. Oleh itu prinsip mematuhi peraturan jalan raya sentiasa dipatuhi.

“Tentunya, setiap perjalanan ada cabarannya. Berpanas, berhujan atau melawan aliran angin kuat adalah satu perkara biasa, dan menjadikan perjalanan itu lebih menarik dan menyeronokkan.

“Paling mencabar, apabila kami perlu meredah sawah ketika menghadiri majlis perkahwinan teman sepejabat. Itulah pertama kali kami menunggang motosikal di kawasan sawah,” katanya mengimbas kembali pengalaman menyeronokkan kumpulan tersebut.

Pupuk semangat setiakawan

Pendekatan interaktif kumpulan motosikal berkuasa tinggi bukan sahaja menjadi ruang untuk mereka berkumpul dan mengisi hobi kegemaran bersama, namun turut digunakan untuk mengeratkan silaturrahim dan memupuk semangat setiakawan antara ahli.

Bagi salah seorang ahli kumpulan ini, Mohd. Azrul Syafiq Mohd. Zikri, banyak kelebihan diperoleh dengan menyertai konvoi bersama teman-teman sepejabat antaranya dapat merapatkan lagi ukhuwah antara satu sama lain dan mengurangkan tekanan selepas penat bekerja.

“Menunggang motosikal ini bukan hanya satu kepuasan, tetapi dapat mengurangkan tekanan lebih-lebih lagi apabila dapat bersama teman yang mempunyai minat sama.

“Malah, menunggang juga lebih menyeronokkan sekiranya dilakukan secara beramai-ramai melalui aktivit konvoi berbanding menunggang bersendirian,” kata Mohd. Azrul Syafiq yang telah tiga kali menukar motsikal kerana inginkan kepuasan dan bagi memenuhi citarasa nya.

Dalam pada itu katanya, penglibatan dalam aktiviti permotoran tidak kira daripada kumpulan kecil atau kelab membolehkan dia menceduk ilmu pengetahuan tentang jentera tersebut.

Jelasnya, memandangkan mereka berkongsi minat yang sama, setiap kali bertemu pastinya topik berkaitan motosikal menjadi perbualan. Inilah juga masa untuk mereka bertukar-tukar pandangan tentang motosikal lebih-lebih lagi jika wujud masalah, mencari bengkel bersesuaian dan peralatan yang diperlukan dan juga tempat-tempat menarik untuk berkonvoi.

“Kami juga mempunyai kelab motosikal masing-masing dan segala pengetahuan yang diperoleh dari kelab tersebut turut dikongsi bersama Geng Pejabat.

“Sebenarnya saya suka berkonvoi sebab dapat ramai kenalan. Sambil menambah rakan, saya dapat bertukar-tukar pendapat dengan ahli lebih berpengalaman dalam dunia permotoran,” katanya.

Ditanya adakah hobi menunggang motosikal memerlukan kos yang tinggi, Mohd. Azrul Syafiq berkaya, ia bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Katanya, terdapat pelbagai jenis aksesori motosikal di pasaran daripada harga mencecah ribuan sehingga puluhan ringgit, terpulang kepada keinginan dan kemampuan poket sendiri.