Isuzu Malaysia dalam ke­nyataan berkata, trak-trak ringan tersebut diperoleh melalui syarikat pengedar sah Isuzu Malaysia, Automotive Corporation Malaysia Sdn. Bhd. (ACM).

Menurutnya, perolehan terkini itu selaras dengan pelan perkembangan kenderaan trak sokongan TNB yang akan digunakan untuk kerja-kerja ­sokongan luar.

“Trak-trak ini juga telah disesuaikan mengikut keper­luan TNB supaya perkhidmatan dapat dijalankan dengan lancar dan lebih cekap.

“Sesi latihan turut diberikan kepada para pekerja dan pemandu TNB merangkumi pelbagai teori produk, penyelenggaraan asas kenderaan dan pemeriksaan prapenghantaran,” katanya di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura; Ketua Pegawai Operasi ACM, Mohamad Radzi Omar; Pengurus Besar Kanan Bahagian Pengurusan Pengangkutan TNB, Datuk Viswanathan; Ketua (Operasi) Bahagian Rangkaian Pengagihan-Pemilik Aset TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood dan Pengerusi Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB, Othman Alias.

Tambah syarikat itu, kesemua trak berkenaan dilengkapi dengan badan Roller Shutter dan ruang kabin berkembar yang mampu memuatkan ­sehingga lima penumpang ­dewasa dengan selesa.

“Enjin Heavy Duty Common Rail 4HK1-TC memastikan kuasa dan prestasi pemanduan sentiasa hebat selain penjimatan minyak dan kebolehpercayaan yang tinggi supaya operasi harian TNB dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Nakamura berkata, trak Isuzu dapat membantu TNB mencapai objektif untuk memenuhi keperluan elektrik pengguna seluruh ­negara dengan pantas dan tepat pada masanya.