Festival dua hari yang dianjurkan Majlis Daerah Jelebu dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dimulakan dengan acara Fun Ride 25 kilometer melibatkan 150 peserta dari dalam dan luar Negeri Sembilan. Lebih mengujakan apabila acara tersebut turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab. Malik dan pegawai Kelab PTDNS.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu, Tuan Wan Mud Shardihan W. Dahalan berkata, tumpuan utama festival itu ialah acara J2WF iaitu program yang mengumpulkan jentera dua roda melibatkan pelbagai jenis motosikal dan basikal dari seluruh pelosok negara.

“Pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi tampil mewarnai kemeriahan festival ini yang antara lain dianjurkan bertujuan mengeratkan silaturahim selain peserta bertukar pandangan mengenai ilmu automotif,” katanya.

Selain menampilkan jentera dua roda, terdapat lebih 10 acara diadakan dengan melibatkan penyertaan pengunjung sekali gus menjadikan konsep festival ini pertama kali diadakan di Negeri Sembilan.

Antara acara itu ialah Fun Ride, King of Mini Bike Race, Drift Trike, Push Bike Race, memanah, pertandingan karaoke dan Battle of The Band yang menampilkan Man Kidal sebagai juri.

Terdapat juga khemah jualan, pameran dan perniagaan yang menawarkan pelbagai barangan kepada pengunjung. Aneka barangan seperti makanan, minuman dan pakaian turut dijual dan mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Sementara itu, promosi makanan daerah Jelebu seperti sate tulang, cendol titi dan produk akar kayu warisan memberi peluang kepada peserta dan pengunjung menikmatinya. Begitu juga gerai jualan baju-T festival menerima kejutan apabila habis dijual di khemah urusetia.

Melihat sambutan itu, Tuan Wan Mud Shardihan berharap festival sebegini dapat dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan yang diterima amat mengalakkan.

“Ahli keluarga, peserta dan pengunjung bukan sahaja dapat berkumpul, malah berpeluang menyaksikan pameran jentera dua roda yang pelbagai rupa dan bentuk termasuk jentera klasik,” ujarnya. Beliau memaklumkan festival itu juga bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan peserta selain mempromosikan Jelebu sebagai salah satu kawasan pelancongan yang dikenali.

SAMBUTAN LUAR BIASA

Program J2WF turut memberi tempias kepada pengusaha hotel, calet dan inap desa yang penuh dengan kehadiran peserta dari Pahang, Perak, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Malah terdapat juga peserta dari Singapura dan Australia hadir memberi sokongan.

Paling istimewa adalah kemunculan pasukan motor cross melibatkan 30 peserta yang menempuh laluan off road dari Kuala Pilah sejauh 20 kilometer untuk sampai ke lokasi festival ini.

Tuan Wan Mud Shardihan, berkata, festival yang diadakan itu mendapat sambutan luar biasa daripada golongan belia.

Katanya, mereka mendapat pelbagai manfaat sepanjang menjayakan festival tersebut.

“Sekurang-kurangnya anak muda tidak melakukan perkara tidak berfaedah di luar sana,” tambahnya.

Mengulas lanjut katanya, festival tersebut turut berfungsi sebagai pusat sehenti kepada penunggang terutama peserta yang mahu mendapatkan barangan tertentu terutama peralatan berkaitan motosikal.

Katanya, pihaknya juga menekankan kesedaran keselamatan agar mereka dapat menunggang motosikal dengan selamat.

“Tahniah kepada penganjur atas usaha menganjurkan program yang berjaya mempromosikan daerah Jelebu di seluruh negara,” katanya sambil memberitahu program akan datang anjuran Majlis Daerah Jelebu adalah Jelebu 4x4 pada September depan dan Jelebu Kayak Eco Challenge pada November ini.

Majlis penutup festival dan penyampaian hadiah Pocket Bike disempurnakan oleh Pengerusi Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap ADUN Klawang, Bakri Sawir.