Program tersebut yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan hampir 30 orang penunggang motosikal wanita dari seluruh negara untuk berkonvoi dari ibu negara ke Gunung Ledang Resort, Tangkak, Johor dan berkhemah di sana selama satu malam.

Anita yang juga Duta Givi berkata, Ladies Ride and Camp memberi peluang kepada penunggang-penunggang motosikal wanita untuk bertemu sekali gus berkongsi minat yang sama.

Sambutan yang diberikan oleh setiap peserta begitu menggalakkan sekali gus menjadikan program itu lebih bermakna dan meninggalkan pengalaman yang cukup manis.

“Sebelum ini Givi juga ada menganjurkan program Ride and Camp tetapi tidak dikhususkan kepada wanita. Oleh itu, program sebegitu biasanya hanya disertai oleh golongan lelaki.

“Jadi saya telah mencadangkan kepada Givi untuk membuat program khusus untuk penunggang motosikal wanita dan mereka menyambut baik cadangan tersebut.

“Kumpulan penunggang motosikal wanita ini kami namakan sebagai GiviBella. Bella adalah perkataan berasal dari Itali yang bermaksud cantik,” katanya.

Program Ladies Ride and Camp bermula di Seri Kembangan, Selangor sebagai lokasi berkumpul dan pendaftaran sebelum berlepas.

Di situ, semua peserta diberi taklimat ringkas oleh Pengurus Pemasaran Givi Asia, Samir Sharman diikuti marsyal yang mengiringi konvoi tersebut.

Setiap peserta juga dibekalkan minuman tenaga terkenal yang merupakan antara rakan penaja dalam program berkenaan.

Menariknya mengenai program itu, penganjur tidak menetapkan sebarang kriteria motosikal yang perlu dibawa.

Peserta bebas menaiki apa sahaja jenis motosikal termasuk jenis kapcai dan skuter.

“Saya begitu kagum dengan semangat peserta. Ada yang datang dari Terengganu dan Pulau Pinang semata-mata hendak memberi sokongan kepada program ini.

“Semua peserta membawa barangan dan peralatan perkhemahan sendiri walaupun ada antaranya tidak menggunakan kotak penyimpan barang di motosikal.

“Terdapat seorang peserta hanya menggunakan beg sandang dengan kuali diikat pada beg tersebut,” cerita Anita.

Peserta memulakan perjalanan pada kira-kira pukul 9 pagi dan sewaktu dalam perjalanan, mereka berhenti di beberapa hentian seperti Dengkil dan Ayer Keroh untuk mengisi minyak.

Mereka kemudian berhenti di sebuah restoran di Tangkak untuk berehat dan makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi perkhemahan.

Setibanya di Gunung Ledang Resort pada pukul 2 petang, peserta terus mendirikan khemah dan kemudian berehat sebelum melakukan persiapan untuk minum petang.

Menurut Anita yang juga pemegang rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) serta Asia Book of Records (ABR), kerja-kerja menyiapkan minum petang antara saat paling menyeronokkan kerana pada waktu itu setiap peserta mengambil peluang untuk berkenalan sesama sendiri dengan lebih dekat.

Aktiviti membuat cucur bawang dan cucur bilis serta puding jagung itu disulami dengan gelak tawa peserta sekali gus menguatkan lagi ukhuwah yang baru sahaja terjalin.

Pada sebelah malam, peserta dijamu dengan menu barbeku yang ditaja oleh Givi. Namun ada juga peserta yang membawa bahan makanan tambahan seperti udang kara, ketam dan kambing.

Aktiviti selanjutnya ialah sesi perkongsian pengalaman oleh Anita sendiri mengenai pengembaraan solonya di benua Afrika pada hujung tahun lalu.

“Sesi tersebut juga saya buka kepada peserta-peserta lain yang mempunyai pengalaman tidak kurang hebatnya. Sebagai contoh, Presiden Lady Bikers Malaysia, Aisya Alia berkongsi pengalamannnya bermotosikal di Pakistan.

“Peserta lain yang turut berkongsi pengalaman ialah Omadevie yang pernah bermotosikal di Himalaya, Khailyn tentang pengembaraannya di Nepal dan Teja yang bermotosikal berdua dengan rakannya dari Malaysia ke sempadan Laos dan China.

“Beberapa soalan turut dikemukakan oleh peserta lain antaranya mengenai keselamatan terutama apabila bermotosikal secara solo. Ada juga yang bertanya berkenaan pembiayaan untuk setiap ekspedisi dan sebagainya. Sesi perkongsian ini tamat pada tengah malam sebelum semua memasuki khemah untuk berehat,” ujar Anita.

Pada keesokan harinya, semua peserta menyiapkan sarapan dan kemudian menurunkan khemah sebelum memulakan perjalanan pulang ke ibu negara.

“Alhamdulillah semua peserta seronok dengan program ini dan mereka memberikan maklum balas yang positif. Mereka malahan meminta untuk program akan datang diadakan untuk tempoh lebih lama.

“Insya-Allah jika tiada halangan, kami akan adakan program sebegini lagi. Mungkin dalam setahun akan dianjurkan dua atau tiga program Ladies Ride and Camp,” kata Anita lagi.

  • Penunggang motosikal wanita yang berminat menyertai Ladies Ride and Camp, boleh sertai Givista Community di Facebook.