Bagi penulis, ini merupakan pengalaman baharu sepanjang bertugas selama hampir lima tahun sebagai jurufoto. Yang pasti, merakam gambar pesawat berteknologi tinggi sememangnya berbeza dengan tugasan-tugasan harian yang lain kerana ada cabarannya yang tersendiri.

Antara cabarannya ialah pemahaman jurufoto tentang sudut paling sesuai untuk merakam segala jenis pesawat khususnya yang melibatkan pertunjukan udara. Paling mencabar jika diarah membidik persembahan akrobatik udara.

Oleh itu kepekaan serta kemahiran jurufoto amat diperlukan. Untuk merakam gambar sedemikian jurufoto perlu menggunakan kelajuan pengatup (shutter) yang bersesuaian lebih-lebih lagi . jika melibatkan petunjukan akrobatik udara.

Antara tip, jurufoto yang ditugaskan merakam gambar pertunjukan itu perlu menggunakan shutter yang tinggi (high speed) supaya rakaman pesawat tidak terlepas daripada pencari pandangan (viewfinder). Paling penting keseluruhan rakaman tidak menjadi kabur (shaking).

Bukaan aperture kecil (fno) juga sesuai digunakan dengan mendepani cahaya terus (direct light) untuk merakam keseluruhan pesawat. Jika menggunakan aperture yang besar hanya akan menyebabkan fokus tertumpu kepada beberapa bahagian pesawat berkenaan.

Dalam pada itu sudut terbaik untuk merakam foto pesawat adalah di tempat yang tinggi terutamanya bagi menampakkan juruterbang dalam pesawat terbabit. Dengan adanya imej pesawat bersama juruterbangnya sekali gus akan membuatkan foto tersebut menjadi lebih `hidup’.