Itulah pengalaman empunya nama Ramli Rashid, 62, bekas guru marhaban di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tunku Ampuan Rahimah (SAMTTAR), Kuala Langat, Banting, Selangor.

Saat dihubungi Mega Mimbar, Utusan Malaysia, suara dan raut wajahnya seolah-olah menzahirkan kekecewaan kerana lagu-lagu asli marhaban semakin dilupakan kerana mengikut kesesuaian zaman.

Tegasnya, burdah lagu asli amat lunak didengar sekiranya berjaya dipersembahkan dengan baik, malah lagu tersebut sendiri mengandungi banyak pecahan irama yang boleh dibawa oleh generasi muda hari ini.

“Biasanya kita bercakap dalam skop pertandingan yang biasa dianjurkan di sekolah-sekolah dan saya sedih apabila marhaban cuba ditransformasikan atas alasan kononnya mengikut peredaran zaman.

“Saya sudah 30 tahun mengajar marhaban dan terlibat dalam pertandingan Kemahiran Amal Islami (Kamil) antara Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Selangor sehingga peringkat kebangsaan.

“Lagu-lagu marhaban sama juga dengan tarannum al-Quran, tetapi kebiasaannya dalam masyarakat Melayu sekitar zaman 60-an hingga 70-an hanya mengetengahkan taranum seperti sikah, rakbi dan ras,” katanya.

Seni barzanji dan marhaban adalah rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah yang disampaikan dengan iramanya tersendiri.

Namun, perkembangan terkini menyaksikan amalan tersebut semakin terhakis dalam masyarakat dan yang tinggal hanya menjadi pertandingan dalam kalangan pelajar sekolah.

MINAT 
SEJAK KECIL

Walau bagaimanapun, bagi pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin (SAMTSH), Klang, Muhammad Qayyum Nordin, 18, dia meminati marhaban sejak sekolah rendah kerana bapanya sendiri mengajar seni tersebut di sekolah.

“Acara marhaban memang kesukaan saya sejak sekolah rendah sebab masa kecil selalu ikut datuk dan nenek ke majlis akikah atau cukur jambul.

“Ayah saya pula memang pandai dalam marhaban dan selalu menjadi juri dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan di sekolah.

“Semasa pertandingan Kamil peringkat zon Barat baru-baru ini, saya sedih kerana hanya mampu merangkul tempat ketiga, mungkin kerana pasukan kami tidak cukup latihan disebabkan peperiksaan awal tahun selain jadual kelas tidak sama dan sukar hendak berjumpa selalu,” luahnya.

Sementara itu guru cemerlang SAMTSH, Zaiton Yusof yang sudah 37 tahun berkhidmat sebagai pendidik menekankan, minat menjadi pendorong utama buat dirinya melatih pelajar di sekolah itu.

Katanya, soal masa, tugas hakiki sebagai guru serta tanggungjawab sebagai ibu di rumah bukan alasan untuk tidak melatih pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum itu.

“Kita perlu menghidupkan kembali budaya yang sudah lama subur dalam kalangan orang Melayu supaya generasi muda boleh meneruskan tradisi tersebut.

“Seni itu juga tidak asing dalam kalangan masyarakat Melayu umpamanya seperti dalam majlis akikah dan cukur jambul kita kerap melihat penyertaan golongan wanita dan lelaki dewasa barzanji serta bermarhaban.

“Namun, bagaimana kita hendak menyemai tradisi itu dalam jiwa anak muda supaya mereka tidak melupakan tradisi yang sudah sebati khususnya dalam kalangan pelajar sekolah,” jelasnya.