Sistem perbankan Islam pula merupakan rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang menjalankan prinsip serta amalan berlandaskan syariah untuk merealisasikan keadilan pengagihan kekayaan serta pendapatan.

Institusi kewangan Islam pertama di Malaysia adalah Lembaga Urusan Tabung Haji (kini dikenali Lembaga Tabung Haji) yang ditubuhkan pada 1969.

Bank Islam pertama pula adalah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang didaftarkan pada 1 Mac 1984. Ini diikuti oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) pada 1 Oktober 1999 dan Bank Rakyat pada 2003.

Memandangkan sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat Malaysia, maka hampir semua bank di negara ini turut memperkenalkan sistem perbankan Islam.

Kini bukan setakat orang Islam, malah bukan Islam begitu ramai inginkan wang mereka dilaburkan dalam sistem perbankan Islam. Ini kerana ia mematuhi syariah dan dapat menawarkan keuntungan lumayan di dunia dan akhirat.

Walau bagaimanapun, bilangan pegawai bank yang mahir dalam sistem perbankan Islam dan muamalat masih rendah berbanding permintaan terhadap sistem ini yang tinggi dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Fakulti Ekonomi, Perbankan Islam dan Muamalat Universiti Yarmouk, Jordan mengalu-alukan bank atau organisasi berminat untuk membuat penajaan kewangan kepada pelajar cemerlang Malaysia yang terpilih.

Ini kerana mereka adalah aset berharga kepada pihak bank atau institusi kewangan secara khusus dan Malaysia secara am pada masa akan datang.

Mereka yang berminat boleh menghubungi penulis di talian 019-2788055 untuk pertanyaan lanjut.