Bagi Sheryl, walaupun lagu popularnya berjudul Perasaan sudah mencapai hampir 13 juta tontonan dalam saluran YouTube, itu bukan tanda aras seseorang penyanyi itu bagus.

Baginya, peluang berada di pentas Big Stage adalah langkah permulaan agar bakatnya dapat dinilai oleh juri berpengalaman secara profesional.

“Tidak dinafikan, sudah menjadi trend sekarang ramai yang menilai populariti sesebuah lagu itu berdasarkan tontonan di YouTube. Saya sedar dan akur, itu salah satu cara untuk melihat pencapaian seseorang penyanyi.

“Namun, bagi saya tontonan yang banyak belum tentu seseorang penyanyi itu bagus. Kehebatan atau kualiti bakat penyanyi boleh dilihat melalui persembahan secara langsung.

“Tambahan pula ia dinilai oleh juri yang bukan calang-calang pencapaian mereka.

SHERYL SHAZWANIE SHAMSUL BAHRI
SHERYL SHAZWANIE SHAMSUL BAHRI

“Dari situ, barulah kami yang dikenali sebagai ‘budak baru nak up’ (BBNU) dinilai bakat dan tidak syok sendiri,” ujar Sheryl

Mengakui ia satu cabaran besar dan pasti akan membawa debaran luar biasa, apatah lagi kesemua peserta akan menyanyi di hadapan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Justeru ujar Sheryl, melalui program Big Stage tersebut, dia mahu memperbaiki segala kelemahan diri daripada pelbagai aspek seperti vokal, cara persembahan dan sebagainya.

Sedia dikritik

Ujar bintang muda ini, dia sudah membulatkan hatinya untuk menerima kritikan juri secara berlapang dada.

“Lagipun saya

sudah biasa dengan kecaman warganet, diharapkan kritikan juri tidaklah mematahkan semangat saya,” luah Sheryl yang berharap layak ke peringkat akhir Big Stage.

Impiannya bukan semata-mata mahu menang tetapi apa yang lebih penting adalah ilmu yang dtimba.

“Jika dilihat para peserta lain hebat-hebat dan mempunyai pengaruh tersendiri. Misalnya Santesh yang mempunyai keunikannya. Suara dan lagu-lagunya dekat di hati pendengar.

“Semua orang pasti nak menang. Namun apa yang lebih berharga adalah pengalaman yang diperoleh sepanjang berada dalam program tersebut,” katanya lagi yang pernah muncul dengan lagu Hati-Hati Dengan Cinta, Teratai Cinta dan Potret Lebaran.

Jika dilihat sudah menjadi trend ramai artis muda cepat popular tetapi sukar untuk mengekalkan nama mereka dalam industri. Sheryl akui bukan mudah untuk terus diingati peminat.

“Saya tahu, ramai penyanyi baharu datang dan pergi. Popularnya sekelip mata, hilangnya juga sekilas sahaja. Kalau boleh saya tidak mahu jadi sebegitu kerana saya serius dalam bidang nyanyian dan bukan sekadar hobi.

“Saya rasa mana-mana artis pun risau jika dilupakan. Jadi, kenalah terus berusaha dalam pelbagai cara untuk mengekalkan populariti itu. Saya percaya, bakat yang bagus, strategi yang bijak dan sentiasa menghargai peminat, antara cara untuk kekal dalam industri,” jelasnya lagi yang mahu mencontohi Siti Nurhaliza dalam dunia nyanyian.