Namun, apabila digandingkan dalam satu situasi yang memerlukan mereka saling bersaing, ramai yang tertanya-tanya adakah mereka akan sekadar bersaing di kaca televisyen atau berterusan di luar waktu kerja.

 

Bagi Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 28, dia tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan isteri sendiri menerusi program Mentor Milenia 2019 yang akan disiarkan menerusi TV3, Oktober ini.

“Saing itu tetap bersaing walaupun Stacy turut terlibat dalam program Mentor Milenia kali ni. Lagipun protégé ini adalah penerus legasi muzik untuk masa akan datang. Yalah, kami tak selamanya berada dalam dunia muzik.

“Pada saya, tiada masalah untuk bekerja bersama isteri. Kami akan berbincang tapi tidaklah merangkumi semua perkara kerana ada juga saya perlu melakukan sendiri. Yalah, sudah namanya pertandingan, sayapun ada strategi sendiri.

“Namun kami sama-sama berfikir apa yang baik untuk protégé kami. Sebenarnya jika diikutkan isteri adalah orang yang paling saya percaya dan sering jadikan sebagai rujukan dalam pelbagai perkara. Dialah juga orang yang banyak memberikan pandangan kepada saya,” kata Akim.

Menurut Akim yang pernah muncul juara menerusi protegenya, Elica pada 2017, dia mengharapkan untuk dapat mencari bakat pelapis yang berani bagi program tahun ini.

Jelas Akim yang turut dikenali sebagai komposer, pemilihan uji bakat kali ini berbeza dari tahun sebelumnya.

“Untuk kali ini kita mahu mencari pelapis kepada penyanyi sedia ada. Jadi untuk mereka yang serius sahaja akan diberikan perhatian. Pada zaman sekarang yang tanpa batasan, ramai bakat muda muncul berkongsi kemampuan masing-masing,” katanya.

Menyentuh persaingan dengan barisan mentor lain seperti Hazama, Black Hanifah dan Ernie Zakri, Akim menganggap persaingan adalah sesuatu yang sihat bagi memberikan pengalaman berbeza buat protégé masing-masing.

“Menang adalah keinginan setiap mentor. Cuma apa yang kita boleh janjikan adalah lebih kepada pengalaman dan keseronokan yang tidak akan dapat di tempat lain sebab kami di Mentor Milenia macam keluarga.

“Walaupun orang tengok kali ini Ernie ada, saya tidak tercabar langsung. Mungkin Ernie ada kelebihan sebagai guru vokal, namun apa yang boleh saya cakap, pengalaman itu adalah suatu yang berharga. Kami iaitu saya, Hazama dan Black tahu bagaimana untuk susun masa protégé dengan kemas,” ujarnya.