Menurut Stacy, dia perlu mengekalkan berat badannya bagi mendapatkan stamina ketika membuat persembahan pentas.

Stacy bagaimanapun menolak untuk kurus dengan cara pengambilan ubat atau mengamalkan diet yang keterlaluan kerana bimbang akan membuatkan dia jatuh sakit kemudian hari.

STACY

“Selepas bersalin badan saya berisi sedikit berbanding sebelum berkahwin. Memang agak risau sebab bila gemuk saya akan cepat mengah dan tak boleh bagi persembahan yang baik sekiranya ada jemputan nyanyian.

“Jadi saya pilih untuk disiplinkan diri dengan senaman dan makan makanan sihat untuk jadi lebih kurus dan bertenaga. Saya betul-betul komited untuk kurus sebab akan buat saya rasa lebih yakin dalam buat persembahan. Senang juga untuk saya pilih baju,” luah Stacy.

Berkongsi tip kurus, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad ini nekad untuk kurus secara semula jadi.

Namun, Stacy juga tidak mahu terlalu mendesak diri dalam mencapai berat yang diimpikan.

“Sepanjang tempoh itu saya tidak pernah fikir yang saya mahu kurus. Pada saya, jika kita fikir tentang kurus, semakin fikir semakin berisi, tapi bila tak fikir apa-apa, kita lebih gembira dan tiba-tiba sahaja sudah berjaya capai berat badan yang kita inginkan.

“Sebagai wanita, kalau berjaya kurus secara semula jadi tanpa perlu fikir nak makan ubat apa atau tanpa menahan makan itu dan ini, itu sudah cukup membuatkan kita gembira dan berpuas hati,” kata Stacy.

Mengakui bahawa ramai yang menegur keadaan dirinya, Stacy berkata, dia selesa dan berasa lebih sihat dengan fizikalnya sekarang.

“Saya perlu mengawal berat badan untuk memudahkan pergerakan di pentas. Apabila badan ringan, saya rasa lebih selesa melontarkan vokal terutama ketika menyanyikan lagu bernada tinggi.

“Tidak dinafikan ada peminat dan orang luar yang menegur, mungkin mereka bimbang bila tengok saya kurus.

“Jangan risau, saya bahagia dengan keluarga dan tiada apa-apa masalah kesihatan,” kata Stacy.

Fantasi Khayal

SUNYI daripada laporan media dan agak kurang diperkatakan peminat, Stacy lebih senang membawa diri dan keluarga keluar daripada radar populariti sekiranya tiada sebarang produk mahu dipersembahkan.

Tidak kisah digelar kurang popular atau dalam istilah lain ‘sendu’, Stacy yakin ada ruang untuknya biarpun tidak lagi berada setinggi dahulu.

“Soal ‘sendu’ tidak wujud, orang selalu tersalah letak. Kadang-kadang kita hanya cuti sebentar ketika bersalin tapi orang dah kata ‘sendu’ sebab lama tak dengar cerita di media.

“Pada saya seseorang artis itu boleh dilabel ‘sendu’ apabila mereka sudah berputus asa dan disebabkan itu apa sahaja yang mereka lakukan tidak kesampaian dan putus di tengah jalan.

“Tidak adillah jika kita gelar mereka ‘sendu’ sekiranya sesetengah artis itu masih berusaha dan tenggelam hanya kerana tersilap langkah mahupun muncul pada masa yang salah,” jelasnya.

Muncul dengan lagu baharu berjudul Khayal, Stacy mengambil inspirasi daripada kisah dirinya sendiri yang gemar berkhayal dengan kisah fantasi kala sukar melelapkan mata pada waktu malam.

“Lagu ini sebenarnya menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Bila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari daripada segala masalah.

“Saya rasa semua orang pernah mengalami perkara yang sama. Semua orang pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi dalam benak fikiran masing-masing sebagai escapisme untuk melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan,” katanya.

Lagu bergenre pop EDM ini merupakan hasil ciptaan bersama Hang Nadim dan Ziin. Lirik merupakan hasil tulisan Stacy sendiri yang berkarya di bawah nama pena Bunga Cantik.

“Saya harap lagu Khayal akan diterima baik dan semestinya saya sudah tidak sabar untuk membuat persembahan di hadapan peminat,” jelasnya yang turut terpilih menjadi mentor untuk musim terbaru program realiti, Mentor Milenia yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi.

Menariknya, program itu akan menyaksikan Stacy bersaing dengan suaminya di samping Hazama, Black dan Ernie Zakri.