Kredibiliti lakonan lelaki berusia 27 tahun ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana dia sudah memiliki profil lakonan yang mengagumkan.

Namun, bagi Fadlan atau nama penuhnya Fadlan Hazim Anuar, itu bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya dia masih perlu berusaha untuk terus mengukuhkan karier dalam industri ini.

Fadlan Hazim

“Saya bersyukur dan seronok dengan apa yang diperoleh setelah beberapa tahun bekerja keras. Tapi secara jujurnya saya belum berpuas hati dengan pencapaian setakat ini.

“Walaupun sudah lama dalam industri, saya menganggap masih baru dan dalam proses belajar untuk menjadi pelakon yang baik. Masih banyak ilmu yang perlu ditimba dalam bidang lakonan.

“Saya tak mahu rasa terlalu selesa kerana industri semakin berkembang. Dalam industri ini siapa yang berusaha lebih maka dia akan memperoleh kejayaan. Oleh itu, saya harus berusaha lebih gigih untuk kekal lama,” katanya.

Fadlan bersyukur rezekinya semakin murah dengan pelbagai tawaran lakonan. Walaupun tidak sebanyak pelakon lain, tetapi sentiasa ada dan tidak putus-putus.

“Tahun ni memang saya sibuk sangat, tapi saya tak pernah mengeluh atau merungut kerana semua ini adalah rezeki daripada Allah.

“Jadi saya perlu bersyukur kerana mungkin lepas ini saya tak dapat peluang seperti ini lagi.

Oleh itu saya paksa diri untuk bekerja kuat dan memenuhi apa yang diberi,” kata pelakon yang akan ke Paris pada 19 Ogos ini untuk pengambaran drama bersiri Alergi Mamat Romantik untuk siaran RTM.

Menyentuh tentang menamatkan zaman bujang, Fadlan yang sedang menyulam cinta bersama gadis yang dikenali sebagai Julie Anne akui belum bersedia membawa hubungan itu ke peringkat lain.

“Saya masih belum ke arah itu. Susah untuk menyasarkan bila waktu untuk menamatkan zaman bujang. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan masing-masing sibuk dengan kerjaya.

“Mungkin selepas kami selesaikan banyak perkara penting dalam karier, barulah kami akan berbincang tentang soal kahwin.

“Insya-Allah kalau sudah sampai jodoh, saya tak berahsia dan akan beritahu pada semua orang,” ujar Fadlan yang sedang merancang membuka perniagaan produk lelaki.

Bercerita tentang perkembangan terbaharu, Fadlan bakal muncul dalam filem Sangkar yang diarahkan oleh Kabir Bhatia.

Filem bergenre aksi drama berkisar kisah seni bela campuran (MMA) Melayu pertama di Malaysia ini akan menemui penonton dipawagam bermula 29 Ogos 2019.

“Dalam filem ini saya melakonkan watak Hafiz, salah seorang petarung MMA yang merupakan kawan baik kepada Adam ‘The Ace’ Abdullah yang dilakonkan oleh Zul Ariffin.

“Sangkar merupakan filem yang menarik dan saya pasti penonton tidak sabar menantikan kemunculannya. Filem ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertarungan tetapi elemen kekeluargaan dan persahabatan,” ceritanya.

Selain Fadlan dan Zul Ariffin, filem sangkar turut menampilkan barisan pelakon antaranya Remy Ishak, Mira Filzah dan atlet profesional MMA terkenal, James ‘Sledgehammer’ Mcsweeney.