Terbaru, selebriti terkenal, Neelofa menyatakan rasa gembiranya apabila kedua-dua akhbar itu mengumumkan untuk meneruskan operasi walaupun khabar angin menyatakan sebaliknya.

Neelofa yang sudah beberapa kali tampil sebagai penghias muka hadapan sisipan Pancaindera untuk akhbar Mingguan Malaysia malah mengajak pengikutnya di Twitter untuk terus menyokong kedua-dua akhbar itu.

“Gembira dapat tahu Kumpulan Utusan tidak akan hentikan operasi.

“Ayuh terus tunjukkan sokongan dan bantu mereka untuk terus kekal dalam industri. Malah, ayuh membaca surat khabar bermula sekarang!” katanya melalui akaun Twitter miliknya hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir semalam berkata, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar di bawahnya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Ia sekali gus memadam spekulasi kononnya syarikat itu akan menghentikan operasinya bermula hari ini susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi. - UTUSAN ONLINE