Masakan tidak, sejak bersama dengan penyanyi tersebut, Hailey sebenarnya dilihat hanya sebagai seorang peneman hidup lelaki itu tetapi cinta belum benar-benar wujud antara mereka.

Ramai melahirkan rasa kasihan pada model berkenaan kerana kemurungan atau tekanan yang dihadapi oleh Justin bukanlah satu perkara baharu.

Sejak mereka menjalinkan hubungan sebagai kekasih sebelum ini, dia sering sahaja dilanda masalah itu.

Sebenarnya, keinginan untuk bercerai pernah diluahkan oleh Hailey dua bulan lalu dan menurut sumber terdekatnya, model tersebut tidak menyangka situasi dramatik seperti ini akan berlaku.

“Pada awalnya, wanita itu menyangka semua akan menjadi baik selepas berkahwin dengan lelaki pujaannya. Selama bersama, dia tidak pernah gagal memberi sokongan pada Justin.

“Jadi tiada alasan untuk orang lain menganggap Hailey mahu lepas tangan. Andai kata dia menuntut perceraian daripada suaminya, itu adalah kerana dia mencintai lelaki tersebut dan mahu melihat Justin pulih segera,” kata sumber.

CUBA BANTU

BAGAIMANAPUN dalam kekalutan ramai yang menganggap perkahwinan mereka sedang menanti belah, Hailey dilihat tetap berada di samping Justin dan memberi sokongan buat suaminya itu.

Meski pernah melahirkan rasa mahu bercerai, ternyata Hailey tidak sanggup untuk melakukannya kerana menyifatkan apa yang diperlukan oleh Justin pada waktu ini adalah sokongan orang terdekat.

Menurut sumber, pasangan ini ada bertemu dengan pakar terapi dan kaunseling tetapi ia bukan kerana soal hubungan mereka bermasalah.

Tetapi lebih kepada usaha untuk merawat depresi yang dialami Justin.

“Dia tetap mahukan Hailey berada di sampingnya sebagai isteri dan begitu juga dengan wanita itu yang mahu terus memberi sokongan buat suaminya walaupun berat,” kata sumber.

Dalam pada itu, ada laporan media antarabangsa turut menyebut Justin juga kini sedang berusaha untuk pulih kerana mahu memastikan dirinya mampu menjadi suami yang baik buat Hailey.

Terdahulu, pada awal minggu lalu, penyanyi sensasi ini membuat luahan perasaan dalam Instagram sambil memohon agar semua peminat mendoakan kesejahteraannya.

Luahan itu kemudiannya mendapat reaksi pelbagai daripada pengikut dan peminatnya dalam media sosial.

SEPATUTNYA BAHAGIA

SELAIN peminat dan orang terdekat, dalam kalangan teman artis juga melahirkan rasa prihatin pada pasangan muda ini.

Antaranya termasuk pengacara selebriti Wendy William, 54, yang menyuarakan pandangan agar pasangan ini berpisah demi kebaikan hidup kedua-dua pihak.

Bagi Wendy, masalah depresi yang dihadapi oleh Justin dikhuatiri boleh menjejaskan rumah tangga mereka.

“Hailey berusia 22 tahun dan pada waktu ini sepatutnya dia menikmati hidup sebagai pasangan yang baru berkahwin.

“Bayangkan jika mereka mempunyai anak. Adakah Justin mampu menjadi seorang bapa dan suami yang terbaik? Semua itu terlalu berat buat wanita usia begitu.

“Kalau saya jadi dia, jalan terbaik adalah berpisah atas nama cinta dan persahabatan. Bukan mahu menganiaya atau apa, tetapi demi kebaikan,” katanya.

Melahirkan rasa bangga melihat perkembangan kerjaya Justin, Wendy juga merasakan banyak perubahan positif pada penyanyi tersebut terutama dalam melalui kontroversi lampau.

Bagi Wendy, laluan dunia glamor dan populariti yang ada pada Justin juga tidak sama dengan apa yang dilalui Hailey.

“Kedua-dua mereka terkenal tetapi dengan cara berbeza. Justin adalah satu-satunya individu yang menjadi insan terkenal dalam kalangan ahli keluarganya.

“Hailey pula mempunyai adik-beradik yang juga terkenal dan hidup dalam dunia glamor. Tetapi Justin sudah melalui pelbagai fasa dalam hidup sejak popular di usia terlalu muda.

“Dalam kebaikan, dia juga telah banyak melakukan kesilapan dalam hidup,” katanya.