Walaupun sudah nyata ditegah dalam agama Islam, ada segelintir pihak seolah-olah tidak takut dengan hukuman Tuhan meski sedar perbuatan tersebut hakikatnya adalah satu penganiayaan terhadap orang lain.

Tidak berlaku pada Fattah Amin, sebaliknya kejadian ini didakwa berlaku terhadap bekas pengurusnya, Fas Subari yang pernah berkhidmat dengannya sebelum ini.

Hal itu dikatakan mula diketahui selepas tular sebuah klip video yang dirakam menerusi telefon pintar dalam kalangan orang tertentu dalam industri.

Video itu memaparkan Fas dalam keadaan sakit menyeramkan, seperti kerasukan dan sedang dipulihkan oleh pengamal perubatan tradisional yang tidak dikenali.

Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, video tersebut tidak dapat dikongsi kepada orang ramai demi menghormati mangsa dan keluarganya.

Berpeluang bertemu dengan Fattah dalam satu acara baru-baru ini, Pancaindera melihat ia turut mendapat perhatian daripada pelakon ini.

“Terus terang saya katakan tak boleh dan tak berani nak komen mengenai perkara ini. Ya, saya tahu kerana video itu telah dihantar dalam kalangan teman terdekat kami.

“Tetapi ia tiada dengan saya. Bila ada teman media yang tahu mengenai perkara ini saya terkejut juga sebab ingatkan antara kami sahaja tahu,” katanya.

Menganggap ini isu yang sangat sensitif, Fattah memilih untuk berdiam diri di samping mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Fas.

TAK SAMPAI HATI

DALAM pada itu, ditanya mengenai tahap kesihatan isterinya, Fazura yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini, Fattah menjelaskan tiada apa yang serius mengenainya.

Mengaku isterinya mengalami alahan, Fattah bagaimanapun menjelaskan sehingga kini tidak tahu apa punca alahan tersebut berlaku.

“Kasihan isteri saya, tubuhnya jadi gatal-gatal tetapi sehingga kini tak tahu apa punca atau makanan apa yang menjadi penyebabnya.

“Sayalah yang tolong garukan gatal-gatal dialaminya, kadangkala tak sampai hati pula sebab takut luka kulitnya. Insya-Allah kami akan mendapatkan rawatan pemeriksaan lanjut,”katanya.

KUATKAN PEGANGAN AGAMA

BERKONGSI lanjut, kata pelakon ini dia sedar sebagai seorang selebriti dan orang yang dikenali tidak mustahil dirinya juga boleh terkena perkara tersebut, Fattah percaya pada kuasa Yang Maha Esa.

Katanya, andai seseorang itu berniat jahat, ia tidak mustahil akan berlaku padanya, malah juga terhadap sesiapa sahaja.

“Sudah tentu saya percaya adanya perkara seperti ini (sihir), sebagai umat Islam bagaimanapun kita kena percaya pada kuasa Tuhan itu lebih utama.

“Sebagai orang Islam juga kita perlu kuatkan pegangan dalaman, jangan tinggal solat dan sentiasa berdoa agar diri dijauhkan daripada orang yang berniat jahat atau ingin menganiaya kita.

“Itu adalah apa yang saya amalkan dan Alhamdulillah, Allah SWT pelihara dan lindungi diri dan keluarga setakat ini,” katanya.