Kakak sulung arwah, Dr Nor Ashmiza, 43, berkata, adiknya itu sebenarnya sudah beberapa kali merancang untuk terbang ke United Kingdom (UK) menziarahi Fatimah namun takdir Allah mengatasi segalanya apabila arwah meninggal dunia 19 Mei lalu pada usia 29 tahun akibat jangkitan paru-paru.

Nor Ashmiza berkata, Adamdidam mempunyai hubungan yang rapat dengan kesemua lapan anak saudaranya terutama Fatimah, 5, yang kini seolah-olah kehilangan ayah sendiri.

“Ikatan mereka sangat kuat, Fatimah yang lebih matang daripada usianya merasa keperitan dan kesedihan seperti orang dewasa.

“Dia tahu Mamajee Adamdidam sayang kepadanya dan menunggu kemunculan arwah dalam mimpi untuk mengubat kesedihan,”katanya selepas menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Nora Yaacob bersama Skuad Perkeso Prihatin di kediaman keluarga mereka di Telipot di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, Nora telah menyampaikan cek pencen penakat Perkeso kepada ibu bapa arwah iaitu Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69, dan Bibi Aishah Hukum Khan, 67.

Sementara itu, Nor Ashmiza berkata, keluarganya sangat terkilan apabila timbul berita kurang enak mengenai keadaan Adamdidam yang disiarkan sesetengah media.

Katanya, adiknya itu tidak lumpuh sebagaimana digambarkan malah mampu menyiapkan semua jadual penggambarannya pada bulan lalu dengan rancangan masakan Rasa Nusantara terbitan Astro termasuk di Thailand dan Filipina.

“Saya terkilan sebab ada berita-berita tidak berapa menyenangkan telinga keluarga, ada yang kata dia lumpuh kononnya hanya boleh menggerak jari sahaja.

“Sedangkan adik saya dapat uruskan diri dengan baik, dia boleh mandi sendiri, buat semuanya macam kita, cuma dia dalam keadaan sakit, jadi bila rakan-rakan datang kadang-kadang dia duduk dan kadang-kadang berbaring, dia hanya tenat dalam tempoh tidak sampai dua hari sebelum kematiannya,”katanya. - UTUSAN ONLINE