Zahiril Adzim lulusan Aswara mula menarik perhatian dalam dunia lakonan dengan peranan jahat melalui drama dan filem Kami.

Lakonannya sangat berkesan hinggakan ada yang naik darah menonton aksi-aksi jahat dibawanya.

Hingga ada yang beranggapan dia antara bintang antagonis yang mampu meneruskan karya lakon seperti Allahyarham Salleh Kamil dan A. Rahim yang terkenal kerana peranan jahat dibawa dalam filem.

“Selepas diberi peranan baik dalam drama dan filem Carlos, saya kerap mendapat tawaran berlakon dengan watak-watak protagonis sahaja. Bukan saya sudah tak mahu watak jahat, tetapi tak ditawarkan oleh pengarah.

“Dalam tawaran berlakon, saya tak kisah watak baik atau jahat, saya suka dicabar berlakon dalam pelbagai watak.

ZAHIRIL ADZIM

“Tak demanding asalkan skrip atau jalan ceritanya menarik dan mencabar,” akui Zahiril Adzim.

Terbaru dia akan muncul menerusi filem Kron lakonan bersama Dayana Roza yang bercerita tentang dunia ghaib berlatar belakangkan sejarah Kedah Tua.

Filem arahan Opie Zami ini akan ditayangkan pada hari ini di seluruh Malaysia.

MINAT MENDAKI

Zahiril Adzim melakonkan watak sebagai Sham yang mengikut Prof. Daud (lakonan Arman Graseja), seorang pengkaji sejarah di Muzium Kedah untuk menjejaki laluan Raja Siam ketika era pemberian bunga emas.

“Filem ini menjalani penggambaran pada 2016. Syukur setelan lama menanti akhirnya masuk pawagam, dicantikkan dengan teknik CGI yang menarik. Ini pengalaman pertama saya mendaki Gunung Pulai dan menyaksikan pemandangan dari aktas gunung.

“Pengalaman berada di puncak, menikmati keindahan ciptaan Allah membuatkan saya mula minat dengan aktiviti mendaki gunung.

“Selain itu, saya sudah mendaki kawasan pergunungan berdekatan Cameron Highlands. Boleh dikatakan saya minat aktiviti mendaki selain berlakon.

“Malah turut diajak menjejaki Everest Base Camp (EBC) dalam masa terdekat. Apapun saya menolak dengan memberi laluan kepada rakan artis, Azhan Rani sebab sibuk dengan perkara lain. Mungkin lain kali saya akan ke sana,” akuinya 
yang juga gemar meluangkan masa dengan permainan dalam talian.

Sementara itu, Zahiril Adzim tidak melarang isterinya, Shera Aiyob aktif berlakon.

Shera yang hadir menemani suaminya ketika majlis pratonton Kron mengakui rindu berlakon, namun perlu mengutamakan keluarga.

“Saya menumpukan perhatian pada anak kami, Nadi Anaqi yang nak masuk tujuh tahun. Buat waktu ini sudah tak aktif berlakon atau menerima tawaran untuk memberi perhatian kepada anak. Saya tak hantar anak untuk dijaga orang lain.

“Kalau kami sibuk, ibu mentua tolong jagakan. Bukan apa, risau dan bimbang baca dalam akhbar ada yang leka bila menjaga anak orang. Jadi saya sendiri atau ahli keluarga yang akan menjaga anak.

“Nanti kalau anak sudah bersekolah, rasanya bolehlah saya kembali berlakon. Sesekali rindu juga ke lokasi,” kata Shera.