Meskipun membuat persembahan dengan menyanyikan lagu Bad Romance, mereka hanya berjaya memikat hati juri Anggun C. Sasmi dan Jay Park, namun itu sudah memadai layak ke pusingan seterusnya.

Seorang lagi juri iaitu David Foster, kurang berminat dengan persembahan tersebut dan mempercayai persembahan NAMA boleh diperbaiki lebih daripada itu.

Sebagai peserta wanita berhijab, NAMA yang membuat persembahan kira-kira lima minit menerusi lagu nyanyian asal Lady Gaga itu berjaya memukau penonton di studio sehingga audiens memberi tepukan gemuruh kepada kumpulan tersebut.

Cabaran yang disahut oleh ahli kumpulan itu juga membuktikan wanita berhijab mampu memberikan persembahan terbaik.

“Rancangan realiti Asia’s Got Talent adalah sebuah platform yang bagus untuk mempersembahkan bakat kami,” ujar ahli kumpulan NAMA terdiri daripada Nur Fazrina, Noor Syamimi, Norfazira dan Nur Farahida seperti dipetik portal freemalaysiatoday hari ini.

Graduan dari Universiti Malaya itu turut memaklumkan sangat meminati bidang seni muzik dan persembahan hingga membuatkan mereka mahu mencuba nasib di pentas berprestij itu.- UTUSAN ONLINE