Saodah atau Odah yang berpengalaman luas sebagai wartawan hiburan berkata, sebenarnya sudah lama beliau menyimpan hasrat untuk menulis buku tentang allahyarham Sudirman Haji Arshad.

"Tetapi saya bukan seorang penulis. Saya wartawan. Maka itulah bukan senang bagi saya untuk menulis buku ini tetapi saya juga tidak mahu, Sudirman sebagai seorang lagenda hilang begitu sahaja.

"Di awal kematian Sudirman, macam-macam yang dijanjikan untuk mengenang beliau seperti mahu mengadakan Galeri Sudirman, Muzium Sudirman, Rumah Sudirman seperti Ruman P. Ramlee, nama jalan dan biasiswa atas nama Sudirman.

"Lama kelamaan, semua itu tidak ada dan yang mengingati pemergian Sudirman pada tanggal 22 Februari, 27 tahun yang lalu hanyalah peminat-peminat dan kaum keluarganya sahaja dengan diadakan majlis tahlil.

"Lagipun, takkanlah kita mengenang Sudirman pada tarikh 22 Februari sahaja. Selebihnya...," kata Saodah pada sidang akhbar usai majlis pelancaan buku Sudirman Yang Ku Kenali.

BUKU SUDIRMAN
 

Kata Saodah, sebagai seorang kawan, beliau perlu menulis tentang Sudirman dan tulisan itu dibukukan yang mana akhirnya, selepas membuat rujukan kepada rakan-rakan yang mengenali Sudirman termasuk penulis lirik, Habshah Hassan, bekas wartawan hiburan, Intan Zabidin dan beberapa individu lain, beliau mengambil masa setahun untuk menyiapkan buku sulungnya itu.

"Tiada salah bagi seseorang wartawan itu menjadi penulis dan buku Sudirman Yang Ku Kenali bukan sekadar menulis kerana apa yang dipaparkan adalah perjalanan atau journey seorang sahabat.

"Wartawan hiburan yang rapat dengan artis lebih mengenali artis itu. Saya percaya selepas ini, mana-mana wartawan hiburan juga boleh menulis buku dengan baik.

"Saya berharap dengan penulisan buku ini menjadi pembuka jalan kepada wartawan-wartawan lain menjadi penulis buku dan mereka tidak semestinya menulis buku tentang artis sahaja," ujarnya.

BUKU SAODAH

BUKU Sudirman Yang Ku Kenali tulisan bekas wartawan hiburan, Saodah Ismail kini berada dalam pasaran. - UTUSAN ONLINE/FARID JANUDIN

Menjawab soalan pemberita, Saodah berkata, bahagian kematian Sudirman adalah yang paling sukar untuk beliau menulis kerana mengingati detik-detik itu amat menyedihkannya.

"Sangat sedih dan amat sukar bagi saya menulis bahagian kematian ini kerana segala-galanya masih segar dalam ingatan. Hari itu adalah hari Sabtu dan saya masuk ke pejabat. Saya memakai seluar jeans dan t-shirt.

"Apabila saya diberitahu Sudirman sudah meninggal, saya tidak percaya kerana sebelum itu, tersebar khabar angin yang mengatakan Sudirman sudah meninggal.

"Saya sempat melihat jenazah Sudirman yang dibawa ke rumah kakaknya di Bangsar dan saya mengiringi jenazah sehingga ke Temerloh," kata Saodah yang turut mencatatkan apa yang dikatakannya itu di dalam buku Sudirman Yang Ku Kenali.

Kata Saodah lagi, sebenarnya, ketika Sudirman mengadakan konsert di Chow Kit Road, dia sudah sakit ketika itu tetapi dia tidak mahu memberitahu kesakitannya kepada sesiapa.

Saodah

BUKU Sudirman Yang Ku Kenali, istimewa untuk Utusan Online.

Ditanya apakah dua perkara yang Saodah mahu lakukan sekiranya masa boleh diputar semula, kata Saodah, "Saya mahu memberitahunya yang saya akan menulis buku tentangnya dan perkara kedua, membela dia walau apapun orang kata."

Orang ramai yang ingin membeli buku Sudirman Yang Ku Kenali boleh layari laman web khutubkata.com atau hubungi pengurusam pemasaran di talian 0136679943. - UTUSAN ONLINE