Namun, aktres jelita Fasha Sandha kekal menghuni di tangga tersendiri dalam diari seni tempatan.

 

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 35, mengaku pernah rasa tergugat ekoran usia semakin bertambah berbanding bakat-bakat muda yang lain.

Namun, dengan disiplin dan kerja keras untuk kekal bersaing secara sihat, Fasha tetap menjadi pilihan peminatnya hingga masih berupaya menempatkan nama untuk bertanding dalam anugerah populariti pilihan penonton.

“Sebenarnya saya sendiri terkejut kerana masih tercalon dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) untuk tiga kategori. Sejujurnya saya rasa malu kerana sedar saya bukannya muda lagi kalau nak dibandingkan ramai artis lain.

“Saya selalu anggap berilah peluang kepada mereka yang sedang diperkatakan. Namun, saya bertuah ada peminat yang setia menyokong. Mahu atau tidak, mereka antara punca saya kekal relevan dalam industri sehingga ke hari ini.

“Dengan peminat saya hanya jadi diri sendiri. Tidak perlu jadi orang lain. Tidak payah berpura-pura supaya nampak baik. Kerana itu mereka tetap ada untuk saya pada saat sukar dan senang,” kata Fasha.

Malah kata isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini, sesibuk mana sekalipun dia cuba untuk kekal berhubung dengan para peminatnya demi menjaga ukhuwah antara mereka.

“Saya cuba cari masa untuk mengadakan aktiviti bersama mereka pada bila-bila masa sahaja dan bukannya ketika kempen undian untuk memenangi mana-mana anugerah,” kata Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik Aurawhite dalam pakej Aurawhite Sparkle Diamond Skincare.

Dalam masa sama Fasha juga tidak menafikan ‘darah seni’ yang mengalir dalam dirinya menyebabkan namanya terus kekal diingati.

“Saya memang minat berlakon dan mula aktif dari usia 15 tahun. Saya memang suka bekerja dan tidak boleh duduk diam.

“Alhamdullillah, produser tidak pernah serik panggil saya berlakon. Iyalah, saya sudah tua jika hendak dibandingkan dengan ramai pelakon lain.

“Namun, saya percaya perlu buat sepenuh hati apabila melakukan sesuatu. Jangan buat separuh jalan, nanti semua kerja tidak menjadi,” kata Fasha yang kini duta produk Aurawhite.

Menurut Fasha, dia pentingkan rezeki yang berkat. Jadi dia sendiri menggunakan produk itu dan tidak menipu pengguna atau peminat. Tanggungjawab sebagai duta perlu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh.

“Bukan buat seperti yang mereka suruh sahaja tetapi lebih daripada itu. Janganlah terlalu berkira.

“Satu lagi tip, bila berkawan dengan mana-mana pengusaha produk atau sesiapa, jangan sesekali mengambil peluang atas persahabatan itu. Rasa hormat dan komitmen perlu dijaga,” katanya yang sedang popular menerusi drama bersiri Semua Salahku.