Bagi penyanyi yang boleh dianggap tergolong dalam ‘artis baru nak up’ (BBNU), Sissy Imann, tekanan yang dihadapi boleh dikatakan agak berat. Ini kerana mereka sedaya upaya mahu memahat nama sebagai anak seni yang berkualiti. Bukan hanya sekadar berlandaskan rupa dan populariti yang dicapai menerusi bilangan pengikut dalam media sosial, Sissy mahu menjadi artis yang tidak hipokrit.

KUALA LUMPUR 4 SEPTEMBER 2019- Sesi fotografi bersama Sissy Iman
 

“Artis hidupnya memang untuk orang lain. Kita tak boleh nafikan perkara itu. Kita sebagai artis buat apa yang kita seronok dan gembira untuk diri sendiri, tetapi kalau tidak ada orang yang menghargainya tiada guna juga. Jadi di sini kita kena realistik, tidak boleh hanya syok sendiri saja.

“Awal-awal dulu memang saya buat begitu. Contohnya masa hendak keluarkan lagu pertama dan kedua ikut citarasa sendiri, tak kisah ada orang nak dengar atau tak. Tapi bila lama-kelamaan membesar dalam industri ini, saya mula faham aturannya.

“Sebenarnya kita buat kerja seni untuk orang lain. Bagi orang faham dan ada kaitan dengan karya itu. Jika orang tak faham tak boleh juga. Jadi, kehidupan itu datang dengan tekanan, harapan orang ramai terhadap diri kita, jadi kita kena kuat sebab tak ada pilihan lain,” ujar Sissy yang mula terjun dalam industri hiburan pada 2013.

Bekas peserta program realiti Big Stage ini enggan mengulas lanjut tentang kejadian yang menimpa penyanyi dan komposer Zynakal kerana tidak mengetahui situasi sebenar yang dihadapi. Sissy menganggap dirinya tidak layak untuk memberi sebarang komen.

KUALA LUMPUR 4 SEPTEMBER 2019- Sesi fotografi bersama Sissy Iman
 

Penyanyi berusia 24 tahun ini mengharapkan masyarakat mendoakan agar kesihatan Zynakal menjadi lebih baik dan tidak menghakimi kejadian yang berlaku baru-baru ini.

“Saya tak tahu nak ulas kerana kita tak tahu apa situasi yang dia hadapi. Harap dia boleh bangun kembali dan kuat untuk hadapi dugaan selepas ini. Saya sendiri tidak lepas dinilai dan terima kritikan netizen. Jadi apa yang saya buat ialah tukar kecaman menjadi teguran dan pandang dari sudut positif.

“Memang kita hidup dalam zaman media sosial. Beza dengan dulu tak ada media sosial. Kalau dulu baca komen akan sakit hati, namun kemudian kita sejukkan hati anggap itu adalah teguran peminat buat artis kesayangan mereka,” jelas penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi YouTube ini.