Pengalaman dua kali bercerai sebelum ini yang dialami oleh pelakon Ana Dahlia menjadikannya seorang yang melihat situasi yang berlaku itu secara lebih terbuka.

Kata Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diana Mastura Jaafar, 36, ujian berumah tangga dihadapi pasangan dengan cara berbeza-beza.

Malah, dia mengakui rumah tangganya dan suami, pengarah drama Mohd. Ashraf Jurey Latiff turut berdepan dengan ujian getir apabila pernah diganggu orang luar. Tambahan pula, Ashraf bekerja dengan ramai wanita.

“Setiap orang ada pengalaman hidup masing-masing. Saya sendiri tidak pernah putus asa untuk berumah tangga lagi walaupun pernah dua kali bercerai. Apa yang saya minta adalah suami yang memahami.

“Baik saya atau suami, kedua-dua kami pernah digoda orang luar. Apatah lagi dalam dunia serba canggih ini, pelbagai gangguan berlaku dalam media sosial kami.

“Bukan hanya di alam maya, saya juga pernah didatangi oleh seorang wanita yang mengaku sukakan suami saya dan mahu berkahwin dengannya, namun semua dapat diselesaikan secara baik.

“Kalau melebih-lebih kita kenalah bertindak. Takkan nak biarkan rumah tangga diganggu. Sudah tentu kita kena jaga.

“Orang sekarang sudah tidak peduli status orang. Suami orangpun mereka boleh suka,” jelas Ana Dahlia.

Menyedari ujian tersebut sentiasa ada, justeru dia percaya iman dan ilmu agama perlu ada bagi suami isteri untuk menjadi benteng mengelakkan pasangan curang atau menjalin hubungan sulit dengan orang lain.

“Bagi saya, kalau kita tengok orang lain lebih menarik, kena ingat suami atau isteri kita lagi menarik. Ingat pengorbanan mereka kerana tidak semua orang boleh berkorban untuk kita.

“Ingatlah, dalam dunia ini kita tidak dapat semua yang kita mahukan. Bersyukurlah dengan kurniaan Allah sebab kita sendiripun bukanlah sempurna,” luah Ana Dahlia yang mengakui dia semakin matang hidup berumah tangga setelah dua kali gagal.

Baginya, suami isteri juga perlu berusaha menguatkan lagi hubungan dan jangan cepat berpuas hati.

“Janganlah kita hanya berharap pasangan agar setia.

Kita juga perlu berusaha mengukuhkan hubungan suami isteri. Contohnya, saya sendiri menjaga makan minum suami, pakaian, selalu belai dia dan cukupkan kasih sayang.

“Kalau sebut pantang larang, kami tidaklah meletakkan apa-apa syarat. Cukuplah kami tahu peranan masing-masing yang sudah mempunyai komitmen dalam perkahwinan. Tambahan pula, kami sudah mempunyai seorang anak,” katanya.

Dua kali keguguran 


Ramai yang tidak tahu Ana Dahlia pernah diuji apabila dua kali keguguran sebelum ini.

“Saya disahkan hamil pada tahun pertama perkahwinan kami. Namun, sudah bukan rezeki kami apabila kandungan saya gugur ketika berusia lima bulan. Ketika itu saya aktif menjalani penggambaran sebagai hos untuk program aktiviti lasak.

“Kali kedua saya gugur ketika sedang menjalani penggambaran untuk sebuah drama. Ia disebabkan saya tidak cukup rehat,” katanya dalam nada sedih.

Kini, rumah tangganya dan suami makin berseri dengan kehadiran cahaya mata, Dian Aqilah (enam bulan) yang dilahirkan pada Disember tahun lalu.

Ana Dahlia dan Mohd Ashraf bernikah pada 31 Ogos 2016. Ini merupakan perkahwinan kali ketiga buat Ana Dahlia dan kedua bagi Mohd. Ashraf yang mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu.

Antara drama lakonan Ana sebelum ini adalah Nora Elena, Roda-Roda Kuala Lumpur, 3 Janji, 7 Ramadan, Cinta PhD, dan Menongkah Kasih.