Mengulas tentang keadaan tersebut, Fikry atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim bagaimanapun tidak melihat keputusan yang dibuatnya itu adalah silap, sebaliknya satu cabaran yang bakal menguji kecekapannya dalam mengendalikan bisnes berkenaan.

Finalis Lawak Solo itu menambah, dia sengaja memilih lokasi kedai guntingnya itu di sebuah pusat komersial di Setapak yang rata-rata penghuni di sekitarnya merupakan bukan Melayu, bahkan majoritinya terdiri daripada kaum Cina.

“Selain kawasan ini pesat membangun dengan aneka jenis perniagaan yang berdaya saing, kepadatan penduduk asing juga adalah faktor utama saya menjalankan perniagaan di sini.

“Bagi saya, sekiranya hati para pelanggan berbangsa asing berjaya ditawan, maka tugas saya untuk memikat hati orang Melayu akan jadi lebih mudah,” ujar Fikry memperjelaskan prinsip diamalkannya dalam melakukan urus niaga.

Fikry Ibrahim

Sementara itu, memberitahu alasannya membuka kedai gunting rambut adalah disebabkan dia kerap mengalami masalah untuk mencari tempat yang menawarkan khidmat rawatan rambut yang kompleks.

Sepanjang menceburi bidang seni, tak dinafikan penggunaan pelbagai produk penataan dan penggayaan rambut yang berkimia telah menjejaskan kesihatan rambutnya.

“Keguguran dan kelemumur adalah pemasalahan normal yang acap kali dihadapi jika rambut tidak dijaga dengan rapi. Justeru, saya ambil inisiatif bagi mengatasi masalah itu dengan membuka perniagaan ini.

“Istimewanya, premis saya bukan seperti kedai gunting rambut yang lazim dikunjungi memandangkan di sini turut menyediakan servis merawat rambut menggunakan mesin berteknologi tinggi dan terkini.

“Harga yang ditawarkan amat berbaloi dan berpatutan kerana saya yakin belum ada lagi premis lain yang menawarkan perkhidmatan serupa,” jelas hero siri Kau Yang Pertama yang sedang disiarkan di TV3 itu.

Dalam pada itu, Fikry memaklumkan bahawa tawaran servis yang terdapat di premisnya cuma dikhaskan untuk golongan lelaki buat masa ini.

“Insya-Allah, andai dimurahkan rezeki, saya akan pertimbangkan untuk membuka cawangan bagi golongan Hawa pula pada masa akan datang,” katanya optimis menyusun perancangan.

Berkongsi cerita, sebelum bergelar artis, sebenarnya Fikry pernah mengusahakan sebuah kedai dobi yang beroperasi di kampung halamannya di Jitra, Kedah.

Pun begitu, dek beberapa masalah, bisnesnya yang sempat diusahakan selama hampir setahun itu terpaksa ditutup.