Haiza yang tampil bergaya dengan penampilan terbaharu berambut pendek, mencuri perhatian ramai apabila tampak kelihatan semakin muda.

Kata Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, gaya berambut pendek yang dibawakannya ketika ini adalah kali pertama dilakukan selepas 20 tahun berada dalam industri seni.

Segalanya terjadi secara spontan apabila dia bertemu kembali dengan jurusolek terkenal, Nurul Syukur yang pernah menata hias dirinya saat awal bergelar artis.

“Sepanjang lebih 20 tahun dalam industri, inilah kali pertama saya bawa imej rambut pendek. Kebetulan saya perlu hadir majlis Anugerah Bintang Popular (ABP) dan bertemu dengan Nurul beberapa hari sebelum itu.

“Kami berdua setuju untuk kembali bekerjasama dan terhasillah rambut ‘orang muda’ ini,” kata Haiza disulami ketawa.

Apapun katanya, idea tersebut datang secara spontan dan dia sendiri mahu tampak lain daripada imej sedia ada.

“Tahun depan umur saya 40 tahun. Saya tiada niat untuk nampak remaja. Kebetulan rasa selesa pula dengan imej sebegini.

“Iyalah, sebelum ini saya selalu tampil dengan baju labuh dan rambut ‘kepuk-kepuk’, jadi rasanya saya perlu berubah sesuai dengan peredaran waktu asalkan tidak melampau,” katanya.

Mengakui yang dia juga penggemar fesyen dan mengikuti perkembangan semasa. justeru apa yang dipelajari daripada trend terkini digunakan untuk diri sendiri seiring usianya.

“Bagi saya dalam berfesyen tidak perlu jadi muda, tetapi sebagai artis saya kena ambil tahu soal fesyen yang menjadi ikutan ramai.

“Namun saya tidaklah mahu mengikut cara orang muda sepenuhnya. Saya tidak mahu dilabel ‘orang tua tak sedar diri’.

“Dalam berfesyen, saya sendiri kena tahu apa yang sesuai dengan diri dan jangan sampai melanggar ‘arus’ usia sendiri. Jangan juga kelihatan melebih-lebih,” katanya.

Mujur kata Haiza, dia belum pernah dilabel sedemikian dan selagi boleh dia akan berusaha mengelakkan daripada mendapat gelaran tersebut.

“Dalam apa jua yang kita buat termasuk berfesyen, biarlah berpada-pada dan ‘ukur baju di badan sendiri’. Jangan melampau batas,” ujarnya yang tidak mahu menjadi mangsa fesyen, sebaliknya gemar besederhana.

Ketika ini, selain menjadi penyampai radio Kool FM, pengacara dan pelakon, Haiza akan muncul dengan lagu baharu tidak lama lagi.

Lagu bergenre pop dangdut berjudul Young And Gentleman ciptaan Aizat Amdan sebelum ini mendapat sambutan hangat.