Sudah pasti dia tahu, soalan apa yang mahu ditanya media kerana cerita antara dia dan rakan karibnya, Datin Seri Umie Aida itu cerita panas! Boleh sahaja dia menolak daripada sesi bergambar.

Ini kerana dia adalah primadona! Setiap keputusannya pasti akan dihormati. Namun pengalaman tiga dekad yang ada mengajar dirinya untuk menjadi utuh sebagai anak seni bermaruah. Ya... itulah Erra Fazira. Datanglah segala ‘datuk dan nenek’ kontroversi, Fazira Wan Chek tidak pernah ‘sembunyi’.

 

Pada Erra, sifirnya mudah sahaja. Jika ia boleh diterangkan kepada umum maka beliau akan berkata jujur. Namun jika rumit, primadona ini lebih senang tutup sahaja buku itu dan bina kehidupan baharu.

Ranjau sepanjang zaman

PERNAH terjerat dengan pelbagai dugaan yang bisa menggoncang emosi, ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran ini mengaku ada kalanya dia turut mengalami tekanan perasaan.

Namun dirinya tidak pernah menyalahkan takdir kerana ‘hadiah’ daripada dugaan itu hadir dengan segunung rahmat yang menjadikan dia lebih kuat pada masa mendatang.

“Tipu kalau tak tertekan dengan apa yang pernah berlaku sebelum ini. Macam-macam saya lalui sejak saya muda dahulu.

“Sakit dan menangis semua sudah saya lalui. Walaupun nampak saya tenang tapi sudah tentu saya juga terasa sakitnya apabila sesekali ‘ditampar’ dengan kontroversi.

“Saya juga manusia biasa cuma bagaimana kita nak tangani kesakitan itu. Sama ada kita memilih untuk lama meratap atau sebaliknya. Allah telah latih diri ini untuk kuat,” luah Erra dengan tenang.

Tidak mudah baginya untuk menjelaskan sesuatu kekusutan kepada umum namun penyanyi lagu Pasrah ini cuba memberikan jawapan terbaik agar segala tindak tanduknya itu tidak menyusahkan sesiapa.

“Perkara paling sukar adalah memberi orang sekeliling kita faham. Nak terangkan satu-satu itu payah.

“Kalau kita tahu jalan kita tidak memudaratkan orang, walaupun sakit tapi ia baik untuk saya dan semua, saya terima.

“Saya tak suka serabut-serabut kepala, Allah telah latih sejak muda dahulu untuk saya kekal positif,” jelas Erra.

Wangi
BAKAL muncul dengan filem Wangi yang akan ditayangkan pada 5 September ini,  Erra akan bergandingan dengan barisan pelakon hebat lain seperti Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli.

Ia memaparkan kisah tentang sebuah keluarga bahagia daripada pandangan zahir tetapi di sebaliknya mempunyai rahsia hitam yang tersembunyi. 

Memegang watak Nur, Erra membongkar rahsia tentang dirinya yang pada awal tidak tahu bahawa cerita ini bergenre seram.

“Saya tidak tahu cerita Wangi ini sebuah cerita hantu, rakan-rakan yang cadangkan untuk terima. Mereka kata ia cerita biasa, bila skrip siap baru saya tahu ia cerita hantu. 

“Saya memang tidak selesa berlakon cerita hantu. Bukan takut tapi saya lebih sukakan ketenangan jiwa.  Namun dalam filem Wangi ini, ia bukan sekadar filem seram tapi sebuah filem
psycho thriller yang jarang dizahirkan dalam filem-filem Malaysia,” jelasnya. 

Selain jalan yang agak menarik, dapat beraksi bersama rakan-rakan pelakon hebat antara sebab utama dia bersetuju membintangi filem berkenaan. 

Bagaimanapun ia tetap berhadapan dengan cabaran dari segi kekangan masa yang agak terhad lantaran kesemua artis terlibat mempunyai jadual  padat. 

“Saya harap filem Wangi dapat mengubat hati penonton yang mahu saya kembali beraksi di layar perak," ujar Erra lagi.
 

 

Hajat haji termakbul
SEMBILAN tahun menanti saat untuk menunaikan rukun Islam kelima, akhirnya impian pelakon Sembilu ini berjaya menjadi kenyataan pada usianya 45 tahun sekarang.  

Berbekalkan hajat doa yang kemas disimpan di dalam hati, jelas Erra dia akan berangkat sendirian selama dua minggu pada bulan hadapan. 

“Niat dan perancangan ke arah itu sebenarnya sudah terlalu lama. Namun pada ketika dan saat itu saya perlu akur dengan undang-undang yang meletakkan seseorang wanita itu harus menunaikan haji bertemankan mahram sehinggalah usia 45 tahun. 

“Saya cuba macam-macam cara, sama ada untuk menumpang mana-mana mahram lain namun tidak juga berjaya. Akhirnya pada titik usia 45 tahun saya terus bulatkan niat untuk ke sana. 

“Alhamdulillah setakat ini laluan itu mudah dan saya akan pergi seorang diri sahaja nanti,” jelas Erra yang kembali dalam bidang nyanyian tahun ini. 

Telah tujuh kali mengerjakan umrah membuatkan pemenang aktres terbaik, Festival Filem Malaysia tahun 2001 dan 2005 ini nekad untuk pulang kembali ke Tanah Suci Mekah dalam keadaan berbeza, iaitu mengerjakan haji. 

Menolak daripada ditaja oleh mana-mana syarikat mahupun orang perseorangan, jelas Erra dia sudah lama mengumpul wang untuk merealisasikan niatnya ini. 

“Saya sudah rasa malu sebab kerap sangat melakukan umrah dan sepatutnya sudah tiba masanya untuk mengerjakan haji. Sebab itu saya nekad ke sana apabila sampai usia. 

“Ada pihak yang bertanya untuk menaja tapi saya tak nak sebab saya sudah menyimpan lama. Rasanya tidak perlu kerana niat haji itu untuk menu­naikan ibadah,” luah Erra.

Kebahagiaan dalam perpisahan
SUDAH tertulis tiada jodoh antara mereka, Erra Fazira tidak mahu menanam prasangka bahawa bekas kekasihnya hanya menabur janji palsu.

Menurut Erra, dia menerima takdir ditentukan antaranya dengan Shahir Zawawi, malah mengaku sudah meneruskan kehidupan walaupun masih berkawan dengan bekas juara Akademi Fantasia kelapan itu. Namun tidak menafikan, sebagai seorang wanita, sebelum ini hatinya pernah berbunga-bunga apabila diberikan sebarang harapan soal jodoh.

“Sebelum ini, saya tidak pernah meletakkan harapan biarpun dia selalu sahaja membuka mulut mahu meminang dan melamar saya sebagai isteri.

“Selagi janji tidak berpateri, saya anggap semua itu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

“Sebagai wanita, bohonglah jika hati tidak berbunga-bunga apabila diberikan harapan tetapi lama kelamaan kematangan mengatasi segala-galanya. Sampai bila mahu menunggu?” katanya.