Berbekal kemahiran muzik dan ilmu psikologi yang di pelajari, penyanyi berasal dari Singapura ini membuka sebuah akademi dipanggil Newsantara yang menawarkan khidmat terapi muzik kepada kanak-kanak autisme dan dyslexia.

Setakat ini, Newsantara yang terletak dalam Kafe Bakerfellas di Ara Damansara mempunyai 30 orang pelajar terdiri daripada kanak-kanak istimewa dari pelbagai lokasi termasuk luar Lembah Klang.

 

Bahkan, Awi berbangga kerana ada beberapa pelajar yang sudah menunjukkan perkembangan positif sejak mengikuti kelas pembelajaran dalam tempoh sebulan.

“Selepas empat kali sesi, ada pelajar menunjukkan perubahan yang sangat mengejutkan. Daripada sukar bercakap, mereka sekarang sudah boleh menyebut dan kenal ABC.

“Malah, ada ibu yang menangis di depan saya kerana terlalu gembira melihat anak mereka memberikan respon positif itu.

“Saya faham apa yang mereka rasakan kerana saya lihat sendiri dugaan dan cabaran mereka menguruskan anak istimewa, bukan seperti menjaga anak normal,” katanya yang menyifatkan usahanya ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Awi turut mendapat sokongan dan perhatian daripada Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) yang sekaligus menawarkan dia mengajar di sekolah-sekolah khas.

Ambil hati

Mengakui bukan mudah untuk ‘mengawal’ apatah lagi mahu mengambil hati anak-anak istimewa namun penyanyi yang popular dengan lagu Manusia Sempurna ini seronok kerana teknik pengajarannya berhasil.

Lebih membuat dia tersentuh apabila anak-anak itu sudah boleh sekurang-kurangnya sudah mahu bercakap dan mengenal abjad.

“Semasa mengajar, saya juga berdepan dengan cabaran tetapi saya atasinya dengan menggunakan ilmu psikologi yang pernah saya pelajari.

“Untuk membina kepercayaan, saya akan bernyanyi atau bermain drum depan mereka. Lama-kelamaan mereka mesra dengan saya. Selain itu saya gunakan teknik seperti pernafasan, aroma terapi dan terapi zikir di dalam kelas.

“Sukar menggambarkan apa yang saya rasa apabila mereka sudah boleh bertutur dan mengenal abjad. Perasaan itu lebih daripada seperti memenangi anugerah,” katanya yang mempunyai ijazah dalam bidang pengurusan undang-undang dan psikologi.

Selain itu, dia bersama seorang doktor sedang menulis sebuah buku mengenai program intensif awal untuk kanak-kanak istimewa dan mempunyai masalah lambat bercakap.

Mengenakan kos RM380 untuk empat kali sesi, akademi tersebut diusahakan bersama pelakon Aiman Hakim Ridza.

Bukan hanya akademik untuk anak-anak autisme, Newsantara turut menawarkan pada mereka yang berminat mahu belajar bermain alat muzik.