Ardell dan Josiah tidak mahu kisah peribadi dijaja mendahului kerjaya mereka.

Bagi pasangan yang digandingkan buat pertama kali menerusi filem Surf This Love iaitu Ardell Aryana, 26, dan Josiah Hogan, 30, mereka berpendapat bahawa karier sebagai pelakon bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng, sebaliknya memikul satu tanggungjawab yang mampu memberi impak besar terhadap komuniti.

Berkongsi pandangan, kedua-duanya menganggap dengan bergelar pelakon, ia bukan sekadar rezeki kurniaan Allah SWT untuk mencari sesuap nasi, malah lakonan berfungsi sebagai cermin perlambangan keadaan sekeliling.

“Jika positif yang ditunjukkan, maka positif jugalah impaknya. Begitulah sebaliknya. Jadi, bekerja dalam bidang ini perlu serius, tidak boleh main-main atau sesuka hati.

“Menjadi figura awam, tidak dinafikan ada pengaruhnya yang tersendiri. Gunakan peluang tersebut dalam memainkan peranan sebagai pendidik dalam menunjukkan teladan kepada para peminat atau penonton,” beritahu Ardell sambil dipersetujui Josiah yang mendampinginya ketika ke Studio Utusan baru-baru ini.

Bosan lakon watak jadi mat salih

Sering membawakan watak mat salih dalam lakonannya, pelakon Kastil Tua itu menganggap penampilannya dalam Surf This Love yang bakal ditayangkan di pawagam pada Februari hadapan dapat mempelbagaikan portfolio kerjayanya.

Walaupun mempunyai darah kacukan Inggeris, Josiah, mualaf dengan nama sebenar Mohamad Musleh itu tidak mahu dicop stereotaip memegang peranan yang sama setiap kali diberi tawaran berlakon.

“Bukannya demand, tetapi seperti diperkatakan tadi, sebagai pelakon, saya ada tanggungjawab besar terhadap masyarakat atau audiens yang menonton karya lakonan saya.

“Jadi, saya tidak mahu mengehadkan atau membataskan bakat saya dengan satu-satu watak, sebab itulah seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada mendukung watak sama. Saya mahu pelbagai kaum ada dalam diri saya, sesuai dengan perlambangan negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk,” katanya menyatakan pendirian.

Baginya, itu adalah cara untuk dia mendidik elemen perpaduan dalam setiap hasil seninya yang dipersembah menerusi drama mahupun filem.

“Setiap kali berlakon, saya sangat berharap supaya lakonan saya dapat menyentuh dan ditonton oleh setiap lapisan bangsa yang ada dalam negara. Sebab itu saya terima tawaran berlakon drama untuk pasaran Melayu dan juga yang urban dengan harapan, lakonan saya dapat menyentuh semua kaum di Malaysia,” jelasnya.

Mengulas lanjut wataknya sebagai peluncur air, walaupun masih membawakan peranan mat salih, namun kelainan genre filem tersebut membuatnya tertarik untuk menerima tawaran daripada Waan Hafiz, pengarah yang pernah mengarahkan filem Mat Tudung, Puaka Balai Gombak dan Tok Mudim itu.

“Pelakon terlebih dahulu menjalani latihan di Bali, Indonesia sebelum memulakan penggambaran. Pengalaman yang ditimba menerusi filem ini sukar untuk diperoleh daripada filem lain, terutama ilmu luncur air yang diterapkan.

“Walaupun sukar luncur air bukanlah minat utama penduduk negara ini, hakikatnya filem ini mempertaruh nilai persahabatan yang kuat sebagai tunjang perjalanan cerita,” tambahnya.

Lali layan tohmahan

‘Diserang’ dengan tuduhan dikatakan sebagai pengkid dan lesbian kebelakangan ini, Ardell, pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd. Amin itu berkata, cakap-cakap belakang tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan.

Dek perwatakannya yang sedikit kasar serta berimej tomboi setelah memotong pendek rambutnya, Ardell pernah menegaskan ia sekadar memenuhi tuntutan kerja tatkala menjayakan penggambaran filem arahan Waan Hafiz terbitan Global Solution Resources itu.

“Selain kami berdua, filem berkisar sukan luncur air yang berlatarbelakangkan pemandangan indah Pulau Tioman, Pahang tersebut turut dibintangi oleh Cristina Suzanne, Mustaqim Bahadon, Beto Kusyary, Pekin Ibrahim, Shukri Yahaya dan Farid Kamil.

“Dalam filem berkenaan, saya membawakan watak Lia, adik kepada seorang peluncur legenda di pulau tersebut lakonan Pekin. Lia seorang yang lasak perwatakannya disebabkan pengaruh rakan-rakan lelaki yang juga kawan baik kepada abangnya.

“Jadi, ada sebab mengapa penampilan terbaharu saya sebegini rupa. Bukannya disebabkan orientasi seks saya,” jawabnya memberi penjelasan, sekali gus menepis dakwaan rambang yang dilemparkan terhadapnya.

Tambahnya, sejak mula dikenali menerusi siri Asam Pedas Untuk Dia dan Baby Ana Milik Siapa yang pernah disiarkan di TV3 dahulu, Ardell akui dia semakin lali dengan ‘permainan’ fitnah dan tohmahan manusia berhasad dengki.

Menurut Ardell lagi, setiap kali ada sahaja cerita tidak enak hinggap di cuping telinganya, dia tidak mengambil kisah sebaliknya menjadikan dirinya lebih kuat untuk terus bertahan mengharungi badai dunia hiburan tempatan.