“Kalau ia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, ia akan membawa kerosakan.

“Tetapi jika ia hinggap kepada hati yang suci, ia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan, dan ketaatan kepada Sang Pencipta”.

Demikianlah digambarkan kecintaan terhadap tiga pencinta busana Melayu yang membentangkan pengamatan dan dapatan kajian mereka baru-baru ini.

Meskipun sehari cuma Bengkel Mengenali Busana Melayu dianjurkan oleh Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), benih kecintaan generasi muda terhadap busana Melayu ternyata sukar digambarkan.

Magisnya dimulakan oleh Budayawan Melayu tersohor, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail melalui citranya- ‘Melestari Busana Melayu Tinjauan Koleksi Anak Negeri Selangor’ pada sesi pertama.

Ternyata wanita ini terlalu kental faham dan cintanya terhadap budaya sehingga berupaya membuatkan seratus peserta tidak berganjak.

Walhal pada awalnya bengkel ini hanya meletakkan angka seramai 60 peserta sahaja sebagai siling maksimumnya. Kini lantai bengkel dipenuhi dua pertiganya daripada dalam kalangan generasi muda.

Prof. Zainon nyata tidak pernah lokek berkongsi - seumpama mahukan setiap peserta pulang kelak dengan membawa setidak-tidaknya dengan sebahara ilmu yang dialirkan. Mana mungkin sesiapapun mahu berganjak dari pentas bengkel kerana setiap sesi diselitkan dengan demonstrasi busana berusia ratusan tahun.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak muda yang majoritinya mahasiswa diizinkan pula memperagakan busana dan fabrik tersebut- juga berswafoto sewenangnya.


Semangat

Nyata benih kecintaan baharu ini menjanjikan masa depan busana Melayu yang lebih cerah dan berwibawa.

Sesi seterusnya pula memperlihatkan demonstrasi melipat tanjak oleh Hamzah Nizar, seorang aktivis dan pencinta busana Melayu yang tidak asing khususnya di Brunei Darussalam.

Dengan tekun dia mengasuh setiap peserta sehingga tiada seorang pun gagal menghasilkan tanjak daripada kain songket yang dilipat oleh mereka sendiri. 

Untungnya bengkel ini memberikan setiap peserta pulang bersama tanjak yang dihasilkan itu dengan hanya dengan membayar kos pendaftaran yang amat kecil sahaja.

Seusai solat Zohor, sesi penamat membicarakan pula seni tenunan dari Kelantan yang memberikan fokus kepada era pemerintahan Cik Siti Wan Kembang oleh Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari. 

Indahnya sesi ini apabila Dr. Nazlina begitu terbuka untuk bergandingan bersama Prof. Zainon yang telah sekian lama diterimanya sebagai sifu busana Nusantara Melayu.

Persis seorang ibu, Prof. Zainon nyata santun mengatur bicaranya di mana-mana huraian yang singkat disambungnya agar jelas, yang panjang pula diringkaskan agar rapi dan kemas.

Barangkali ramai yang sangsi dengan kecintaan yang digambarkan melalui bengkel ini. Hanya mereka yang menghadirinya sahaja dapat merasakan.

Ini termasuklah seluruh jerih payah yang dilalui warga kerja Muzium Warisan Melayu melalui kerjasama Rahimah Hamdan selaku Ketua Muzium.

Bengkel sehari ini dinaungi Naib Canselor UPM Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris dan dibimbingi Dekan FBMK, Prof. Abdul Mu’ati atau Zamri Ahmad.

Seluruhnya berhimpun menjunjung tekad untuk mengajak masyarakat mengenali busana Melayu. 

Lantas berjayalah satu usaha murni ini apabila para peserta ditemukan dengan figura budaya yang tepat.

Justeru benarlah persepsi Buya Hamka yang dipetik pada perenggan-perenggan terawal.

Dalam mafhum yg mudah, kesungguhan hati dalam memperjuangkan busana bangsa Melayu ini telah mewariskan kemuliaan, kecintaan, dan ketaatan yang tiada berbelah bahagi lagi.