FaraH Tun Kamaruddin 

Mengakui terlalu obses dengan diet, kesihatan dan kecantikan, Farah Tun Kamaruddin, 21, sentiasa menjaga kesihatan diri dengan hanya makan makanan sihat, berkhasiat dan sentiasa bersenam.

Gadis manis ini menjelaskan, dek kerana ingin tampil langsing dan sihat, sudah hampir tujuh tahun tidak menjamah nasi serta kuih-muih, malah tidak pernah gagal bersenam setiap hari di pusat kecergasan (gim) berhampiran rumah sejak usianya 15 tahun lagi.

“Memang ramai yang fikir saya ini pelik sebab terlalu obses dengan rutin sihat dan kecantikan.

“Rejim kesihatan yang saya ikuti ini pun saya patenkan sendiri demi untuk kesihatan. Tentang makanan pula, saya banyak makan makanan sihat seperti yogurt, buah-buahan, sayur-sayuran dan lebihkan makanan protein, selain banyak minum air suam.

“Saya tidak mengambil minuman dan kuih-muih manis mahupun coklat. Sehinggakan, sekarang saya hampir lupa macam mana rasa coklat dan nasi. Burger terakhir pun saya makan tahun lepas,” katanya separuh bergurau.

Biarpun sentiasa ditegur oleh ibu, keluarga dan rakan-rakan kerana tidak mengambil makanan yang sepatutnya sebagaimana orang lain, bagi Farah, rejim pemakanan yang sudah lama dipatuhi itu masih menjadi amalan selagi tidak mengundang bahaya.

Setakat ini, dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah berhubung dengan amalan dietnya itu.

“Sebenarnya, saya bukanlah tidak mengambil makanan lain, tetapi saya akan pastikan jumlah kalori yang diambil. Sekiranya jumlah kalori berlebihan daripada sepatutnya, sebagai contoh, saya ambil terlebih 450 kalori daripada biasa, selepas makan saya akan ke gim untuk bersenam bagi membakar dan menghilangkan semula kalori yang berlebihan itu,” katanya.

Apa yang menariknya, biarpun tidak makan makanan sebarangan kerana menjaga diet, dia gemar memasak dan membuat kek untuk dijamu kepada orang lain.

Tambah Farah, sekiranya dia keluar berjumpa rakan-rakan atau ada urusan, lazimnya dia akan membawa bekal yang dimasak sendiri bagi menentukan kadar kalori yang dimakan adalah sebagaimana yang diperlukan tubuhnya.

Biarpun sibuk dengan kerjaya dan urusan perniagaan, Farah masih sempat menjalankan kerja-kerja kebajikan kerana hatinya amat mudah bersimpati dengan nasib insan-insan yang kurang berkemampuan serta memerlukan bantuan termasuk warga emas.

Sudah beberapa kali dia dan keluarganya membantu dengan menyumbang makanan serta barangan yang diperlukan kepada golongan gelandangan di ibu kota.

“Semuanya diuruskan oleh saya dan keluarga dengan mengumpulkan sedikit derma, membeli barang-barang yang diperlukan, meletakkan dalam beg-beg dan kemudian pergi ke kawasan gelandangan untuk menyampaikan bantuan,” katanya yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter (sm) dan berat 47 kilogram itu.

Dalam pada itu, jangan terkejut, biarpun pada usia yang masih muda, Farah sudah mempunyai syarikat sendiri, Tunk’s Enterprise, iaitu butik dan vendor secara dalam talian dengan menjual busana berjenama Tunk’s RTW yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Dia juga sedang giat berusaha untuk melebarkan sayap jenamanya yang menampilkan fesyen rekaan sendiri dan kini semakin popular.

Farah yang berjinak-jinak dengan rekaan fesyen sejak zaman sekolah lagi, berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang tersebut sedikit masa lagi.

Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah (P) Kapar, Klang, Selangor itu, rekaan fesyen memang sudah menjadi minatnya.

Dia ingin menjadikan cita-cita sebagai pereka fesyen satu realiti, biarpun sudah memiliki diploma dalam jurusan perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor.

Selain itu, gadis manis berdarah kacukan Pakistan dan Thailand ini juga banyak menyertai kelas-kelas solekan untuk belajar mengenai tatarias wajah.

Namun, Farah lebih gemar memilih penampilan yang ringkas tetapi kemas dan elok apabila berada dalam kalangan rakan-rakan.

Mengisi masa lapang dengan idea-idea baharu dalam fesyen terkini.

Hanya terlibat dengan sukan indoor sahaja.

Berfikiran positif dan percaya, setiap perbuatan baik akan dibalas baik.

Gemar melibatkan 
diri dalam aktiviti amal, membantu golongan yang memerlukan dan cuba meluangkan masa bersama golongan warga emas.