Malah, ramai dalam kalangan pereka-pereka muda kini lebih gemar memasarkan rekaan di luar negara seperti London, Paris dan United Kingdom, ekoran sambutan memberangsangkan masyarakat di negara empat musim itu.

Maka tidak hairanlah, jika kita melihat jaket atau kot bercorak songket, dres makan malam dengan motif batik cop atau tas tangan dengan elemen tekat bakal menjadi gaya ikutan ramai di kota fesyen dunia itu.

Justeru, buat kali ketiga, sebuah projek Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Intrade), Minggu Fesyen Malaysia (MFW) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Stylo International, memberi peluang kepada 10 pereka tempatan menyertai Minggu Fesyen Paris yang berlangsung 27 September hingga 5 Oktober ini di Perancis.

Seramai 10 jenama dan pereka terlibat, iaitu Bon Zainal, Jo Disaya, Bill Keith, Keith Kee, Fizi Woo, Tanoti Crafts, Sakura Malaysia, Ruzz Gahara, Porosus dan Toi-The Dressmaker, yang dipilih berdasarkan keupayaan, pencapaian di peringkat antarabangsa serta kualiti yang dihasilkan merangkumi fesyen pakaian dan aksesori.

Bakal mempamerkan koleksi pakaian siap Musim Panas/Bunga 2017, setiap pereka mempamerkan lapan persalinan dan rekaan, yang bakal dipertontonkan di atas bot di Rivers King, manakala pameran pula diadakan di Maria Callas Suite di Hilton Opera, Paris.

Bagi pengarah kreatif Ruzz Gahara, Hanifi Triff A. Thamid, ini merupakan penyertaan kali pertamanya dalam penganjuran Paris Fashion Week yang merupakan satu permulaan baik dalam memasarkan rekaannya di peringkat antarabangsa.

Jelas anak muda yang memperjuangkan seni batik cop dari Kelantan itu, untuk pertunjukan itu dia akan mengetengahkan persalinan bertemakan zaman penjajahan Jepun pada 1942.

Untuk itu dia memilih warna mewakili perusahaan bijih timah seperti hitam, kelabu dan coklat, selain memberi sentuhan moden pada rekaan baju tradisional.

“Saya juga memberi kelainan dengan menampilkan potongan wanita biasa dan tidak tertumpu pada bentuk tubuh persis model kerana saya mahu memberi gambaran tentang fesyen secara menyeluruh dengan menghasilkan rekaan yang lebih longgar,” katanya.

Bagi pereka berpengalaman, Bon Zainal, sebanyak lapan persalinan koleksi pakaian lelaki dari jenamanya diperagakan, yang menampilkan elemen kejutan dengan sut dan jaket perincian songket dan tenun.

Tambahnya, bagi memberi kelainan persalinan lelaki itu akan disarungkan oleh model wanita selain memfokuskan warna musim panas seperti kuning, oren, putih dan krim.

“Pada penyertaan sebelum ini, koleksi saya mendapat sambutan yang sangat hebat sehinggakan ada yang sanggup membayar pada harga 3,000 euro untuk satu sut,” jelasnya.

Selain fesyen pakaian, aksesori juga menjadi taruhan pada penyertaan kali ini antaranya menampilkan pengeluar beg tangan bermotifkan batik dan tekat terkemuka negara, Sakura Malaysia.

Menurut pengasasnya, Suraya Sharifuddin, koleksi yang diperkenalkan kali ini daripada inspirasi bangunan bersejarah dan terkenal di Itali seperti Duomo dengan menampilkan seni reka tekat yang lebih eksklusif.

Akuinya, masyarakat di Eropah meminati kerja-kerja tangan tradisional, untuk itu dia bakal memfokuskan jalan cerita pada pertunjukan berkenaan.

“Semua jenama ada keistimewaan masing-masing. Pada saya jalan cerita setiap rekaan yang kita hasilkan ada ceritanya sendiri dan saya akan memberi penerangan tentang keistimewaan seni tekat ini kerana saya yakin itu bakal menarik minat pengunjung,” katanya.

Platform terbaik promosi MFW 2016

Penyertaan dalam Minggu Fesyen Paris merupakan tapak terbaik untuk mempromosikan Minggu Fesyen Malaysia (MFW) 2016 dalam usaha menggalakkan penyertaan penggiat industri fesyen global.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud , yakin penganjuran MFW 2016 bakal memperoleh peningkatan jualan sebanyak 10 peratus daripada RM127.52 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

Pencapaian itu didorong dengan pertambahan penyertaan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa selain promosi-promosi yang diadakan termasuk di Paris.

“Pada penganjuran tahun ini, 80 pereka fesyen dari negara seperti Jepun, China, Korea serta beberapa negara Asean melibatkan sebanyak 300 ruang pameran.

“Industri fesyen Malaysia terlalu banyak untuk diketengahkan pada dunia tetapi kita memerlukan tapak yang kukuh untuk strategi pemasaran bagi memastikan fesyen yang dibawa dikenali.

“Kerjasama yang dijalin bersama Matrade dan Stylo International merupakan jalinan yang tepat dalam membawa industri ini ke peringkat global,” ujarnya pada sidang akhbar Pelancaran Global MFW 2016 baru-baru ini yang turut dihadiri Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad,

Beliau menambah, penyertaan 10 pereka itu juga merupakan satu segmen khas dalam usaha mempromosikan MFW 2016 yang bakal berlangsung pada awal November depan sebagai satu langkah menarik minat pempamer, pembeli, pelabur, serta pelawat untuk melibatkan diri dalam industri di negara ini.

Jelasnya, penyertaan mereka di Paris dianggap amat penting sebagai usaha meletakkan industri ini di mata dunia yang mana industri fesyen ketika ini semakin berkembang pesat, malah semakin menjadi tumpuan pelabur.

“Kita mempunyai pereka yang hebat, malah mereka juga telah mempunyai nama di peringkat dunia, jadi kita mahu masyarakat luar tahu mengenai kemampuan kita dan saya yakin 10 pereka ini mampu membanggakan negara dengan koleksi yang diperagakan nanti,” katanya.