Membidik keindahan Georgetown

PESERTA bergambar di hadapan bangunan Hotel Majestic di Georgetown.

Keindahan bandar raya Georgetown, Pulau Pinang yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menarik minat Kelab Fotografi Jalanan Malaysia (FJM) untuk menjadikannya sebagai satu hab rakaman santai , baru-baru ini.

Program tahunan kali kedua di bandar bersejarah itu telah disertai oleh ahli beberapa ahli kelab fotografi seperti Kelab Fotografi Jalanan Penang, Kru Tali Hijau, instafamous The Malay IG dan Street Venture dari Jakarta

Program yang bertemakan Grand Outing ini telah diadakan di sekitar bandar raya Georgetown Pulau Pinang selama dua hari. Program pada 3 dan 4 November lalu telah dihadiri sebanyak 60 orang keseluruhannya.

Menurut pengasas FJM yang dikenali sebagai Chottouch program ini diadakan bertujuan untuk memeriahkan rakaman suasana fotografi jalanan di Malaysia. Selain itu program ini memupuk minat orang ramai terutamanya peminat fotografi khususnya di Malaysia bagi mempelajari teknik dan sudut menarik dalam genre fotografi jalanan.

Dari sudut skop fotografi jalanan, ia tidaklah berbeza daripada fotografi yang lain cuma penganjuran program itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara kumpulan fotografi jalanan yang berbeza dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Jakarta

Program bermula pukul 9 pagi di Hutton Lane dan sebelum itu sesi taklimat telah diadakan bagi memberi gambaran tentang situasi rakaman. Pergerakan dibuat secara berkumpulan bertujuan memudahkan perjalanan dan pengurusan masa.

Antara tempat menarik yang menjadi sasaran jurufoto ialah Armanien Street, Lebuh Chulia, Little India, Chew Jetty dan sekitar kawasan mural dinding.

Selepas empat jam sesi rakaman gambar di sekitar bandar raya Georgetown peserta kemudian berehat sambil berbincang sebelum menyambung tugasan pada sebelah malamnya pada pukul 7 malam di Padang Kota Lama.

Pada hari kedua peserta menyambung tugasan seawal pagi melawat sekitar bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Georgetown. Pada sebelah petang peserta sempat ke lokasi kilang pembuatan arang bagi melihat proses penyediaan kayu arang di Kuala Sepetang sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.