Pengasas Gallery Bawal, Wan Norsyafikah Wan Mat Rifin, 25, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana kesempitan hidup ketika mula menjalani hidup berkeluarga bersama suami, Ahmad Salmizi Muhamad, 33.

Wanita yang berkahwin pada usia belasan tahun ini berkata, beliau memulakan perniagaan tudung bawal pada tahun 2012 menggunakan duit nafkah RM200 yang diberikan suami.

“Suami saya dahulu pekerja kedai perabot dan hidup kami susah sebab itu saya terfikir untuk berniaga bagi menolongnya lagipun saya minat tudung bawal.

“Berniaga bukan bermakna hidup terus berubah jadi baik, kami pernah tiada duit untuk beli susu anak sulung sehinggakan saya terpaksa bancuh gandum dengan air sebagai ganti. Nasi sebungkus pun kami berkongsi makan

“Ada masanya tiada siapa pun beli tudung tetapi saya teruskan tekad kerana matlamat utama saya juga adalah membantu penduduk kampung khususnya anak-anak muda yang tiada pekerjaan untuk bekerja dengan saya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah Ikon Usahawan yang disampaikan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 di Hotel Grand Riverview di sini semalam.

Hasil perkongsian hidup dengan suami, Wan Norsyafikah dikurniakan tiga orang anak iaitu Ahmad Firass Muizz, 6; Nur Khaira Humaira, 4, dan Nur Dhia Humaira, 3.

Pada tahun lalu, jualan tudung Galeri Bawal mencecah RM1.9 juta dengan purata tudung yang dijual setiap bulan antara 10,000 sehingga 12,000 helai termasuk dieksport ke luar negara seperti Australia dan Jepun.

Sementara itu, Wan Norsyafikah berkata, dia kini mempunyai 81 pekerja berusia dari umur 18 tahun hingga 48 tahun termasuk ibu tunggal di kilang tudungnya di Kampung Kedai Buloh.

Katanya, dia membuka sebuah butik di sini dan sehingga kini mempunyai 255 orang ejen dan stokis di seluruh negara termasuk Brunei.

“Pekerja melakukan tugas seperti menampal batu, memeriksa kualiti kain, membaca mesej serta pesanan pelanggan dan lain-lain lagi.

“Dahulu saya sendiri yang tampal batu atas tudung dengan menggunakan seterika sahaja, saya beli tudung berharga RM30 sehelai dan dapat menjualnya dengan harga lebih RM100 ketika bermula tujuh tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, beliau merancang untuk membuka butik Gallery Bawal di setiap negeri dalam tempoh lima tahun lagi dan memastikan tudungnya dapat masuk ke pasar raya besar. - UTUSAN ONLINE