Pemiliknya, Azrin Shala, 49, berkata, beliau mengesyaki perkara tersebut ditularkan oleh dua bekas pekerja pusat itu yang berdendam dengannya kerana diberhentikan kerja baru-baru ini.

“Saya telah memberi keterangan kepada pihak polis malam tadi. Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) juga telah datang untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya serahkan kepada polis melakukan siasatan kerana saya juga telah membuat laporan polis berhubung perkara ini. Saya mahu perkara ini selesai secara aman kerana kasihan kepada penghuni yang berada di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebuah pemilik akaun Facebook, ‘Cik Pah Cik Ton’ semalam mendakwa, warga emas di pusat jagaan berbayar itu didera seperti dipukul, dikurung, diikat pada kerusi, dipaksa minum air kencing dan makan cili serta diberi ubat tidur oleh penyelia wanita pusat itu.

Jumlah kematian warga emas juga dikatakan mencurigakan kerana seramai 16 orang dilaporkan meninggal dunia semasa berada di pusat tersebut sejak tahun 2017.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa pegawai dan anggota polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memasuki pusat jagaan warga emas tersebut pagi untuk melakukan siasatan pagi tadi.

Dalam pada itu, Azrin mendakwa, gambar lelaki warga emas tidak berpakaian di pusat jagaan itu yang ditularkan dalam media sosial adalah ketika mereka sedang menukar lampin di dalam sebuah bilik.

Beliau menjelaskan, rakaman video seorang kakitangan wanita seolah-olah mempermainkan seorang warga emas di pusat jagaan itu pula sebenarnya dirakam semasa mereka bergurau.

Beliau juga menafikan berlaku banyak kematian di pusat jagaan warga emas itu dan punca kematian kebiasaannya adalah disebabkan sakit tua.

Kata beliau, operasi pusat jagaan itu tidak terjejas disebabkan isu tersebut, malah waris penghuni premis berkenaan masih menaruh keyakinan kepada pusat jagaan berkenaan.

“Kalau berdendam dengan saya datang ke sini berjumpa, bukan ditularkan seperti ini. Kasihan kepada 12 warga emas yang tinggal di sini.

“Mereka berusia lebih 60 tahun dan yang paling tua berumur 80-an. Sebahagian mereka sudah jadi pelupa dan ada juga yang agresif,” katanya. - UTUSAN ONLINE