Lama-kelamaan, bidang masakan menjadi sebati dalam diri Siti Sarah, 36, dan minat mendalam itu membuatkan dia nekad menceburi bidang keusahawanan sebelum berjaya membuka kilang sos masakan, Dapur Thai Aroy, di Lubok Jong, di sini.

Lebih membanggakan, dia menggunakan resipi ciptaan sendiri, hasil pengalaman memasak yang dikutip sejak remaja lagi untuk dipasarkan secara meluas di seluruh negara.

ANTARA produk keluaran Dapur Thai Aroy. - UTUSAN ONLINE

ANTARA produk keluaran Dapur Thai Aroy. - UTUSAN ONLINE

Bercerita lanjut pengalaman diri, Siti Sarah berkata, dia sering menghabiskan masa di dapur bagi menyediakan makan minum keluarga kerana ibunya, Fatimah Dollah, 65, yang merupakan ibu tunggal sibuk berniaga pakaian di pasar Rantau Panjang.

Anak kelima yang juga kembar tiga bersama dua abang, Mohd. Faizai dan Mohd. Fadli itu berkata, rutin memasak dilakukannya setiap kali pulang dari sekolah sementara abang dan kakaknya yang lain pula pergi membantu ibu di pasar.

“Apabila berada di dapur, saya mula cipta macam-macam resepi sendiri sebab bosan asyik goreng ayam sahaja. Tak sangka adik beradik lain suka masakan saya.

“Malah sehingga sekarang ada adik beradik yang jadikan resepi saya cipta untuk berniaga nasi kukus dan ayam berempah,” katanya ketika ditemui pemberita di kilang miliknya di Lubok Jong, di sini baru-baru ini.

Produk sos Dapur Thai Aroy yang diusahakan Siti Sarah bersama suami, Mohd. Hamdan Salleh, 41, dipasarkan di seluruh negara dan menjadi pilihan utama suri rumah mahupun tukang masak profesional untuk dijadikan bahan masakan masing-masing.

SITI SARAH OTHMAN memberi penerangan ketika berada di kilang miliknya di Lubok Jong, Pasir Mas. - UT

SITI SARAH OTHMAN memberi penerangan ketika berada di kilang miliknya di Lubok Jong, Pasir Mas. - UTUSAN ONLINE

Antara produk Dapur Thai Aroy yang popular ialah enam jenis sos sriracha asli Thailand bagi masakan menu Rhad Prik, Phad Prik, Masak Merah, Ladna, Tiga Rasa dan Tomyam.

Produk keluaran Dapur Thai Aroy turut mendapat pengiktirafan sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) oleh Kementerian Kesihatan.

Selain untuk pasaran tempatan, produk syarikat ini turut berjaya menembusi pasaran Brunei dan negara-negara Timur Tengah.

Sebagaimana usahawan lain, Siti Sarah yang kini ibu kepada empat cahaya mata berkata, kejayaan tidak datang bergolek kerana dia sendiri pernah beberapa kali gagal dan berdepan ujian yang melemahkan semangat.

Antaranya, terpaksa bersengkang mata beberapa minggu demi mencari rasa terbaik untuk dijadikan resepi dan pernah membuang bertong-tong sos dan kicap buatannya sehingga berdepan kerugian mencecah ribuan ringgit.

“Semua yang ada hari ini, sebenarnya datang dengan cara saya mencampur-campur bahan dan sebelum meminta orang lain mencuba rasanya.

“Saya tidak pernah berguru atau mengikuti kelas masakan secara profesional,” kata. - UTUSAN ONLINE