Ketika mana anak muda seusianya yang lain ghairah menghabiskan masa senggang dengan aktiviti santai bagi menghilangkan tekanan mengulang kaji mata pelajaran, beliau memilih untuk menceburi bidang perniagaan ketika usia mencecah 20 tahun.

Bermula dengan menjual produk jualan langsung hampir setahun, langkahnya dalam bidang perniagaan diperhebatkan apabila memulakan perniagaan sendiri.

 

Hadir dengan cetusan idea sendiri, perniagaan penjagaan kesihatan dan kecantikan menjadi pertaruhan untuknya menceburi bidang yang jauh daripada bidang pengajian yang diambilnya di UniKL MIAT.

Kecekalan menghadapi semua cabaran dalam dunia perniagaan, beliau kini dikenali ramai sebagai antara pelopor produk kecantikan terlaris dalam dan luar negara.

Semua itu merupakan sebahagian daripada permulaan yang diharungi oleh Pengasas V’Asia Cosmetic & Healthcare (V’Asia), Datuk Azril Mohd. Radzi dalam melebar empayar perniagaannya bermula dari ‘kosong’ selain tiada kepakaran khusus dalam bidang teknologi makanan.

Namun katanya, pengalaman menjadikannya seorang usahawan yang sehingga kini terus mengorak langkah berusaha mengejar kejayaan yang lebih cemerlang.

Jelasnya, bagi memantap–kan hasil, V’Asia mengambil peluang dengan mengadakan usahasama bersama pakar pemakanan dan nutrisi bertauliah bagi memastikan formulasi produk dihasilkan berada pada tahap terbaik sekali gus memastikan keberkesanan kepada pengguna.

Azril berkata, V’Asia pada masa ini mempunyai lebih 200 stokis dan lebih 3,000 agen di seluruh negara yang bertindak memasarkan rangkaian produk kesihatan, penjagaan wajah, kosmetik serta makanan tambahan.

Katanya, penerimaan baik orang ramai sama ada di dalam atau luar negara adalah berdasarkan penghasilan produk berkualiti tinggi dengan tawaran harga mampu milik.

“Apa yang mendorong saya menceburi bidang perniagaan adalah membantu orang ramai memiliki produk terbaik terutama dalam segmen kesihatan dan kecantikan dengan harga mampu milik untuk setiap golongan masyarakat.

“Selain minat mendalam, saya sangat berpuas hati apabila dapat membantu membuka peluang perniagaan kepada orang ramai dan menjana pendapatan baik buat keluarga,” katanya yang ditemui Rona di pejabatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

V’Asia merupakan produk kesihatan tempatan pertama di negara ini menerima Anugerah Malaysia Super Brand secara berturut-turut pada 2018 dan tahun ini.

Antara killer product V’Asia adalah minuman bertenaga dan tambah kecergasan, Platinum Drink yang mencatat jualan konsisten sekitar 20,000 botol sebulan.

Selain itu, produk Orange Fiber dan Apple Fiber merupakan keluaran V’Asia yang paling lama berada dalam pasaran iaitu sekitar 10 tahun dengan jualan sekitar 30,000 kotak sebulan.

Produk terbaharu V’Asia adalah Gamax yang baru dilancarkan dua bulan lalu merupakan produk kesihatan menyeluruh termasuk baik untuk mengubati luka dalaman dan selepas pembedahan.

Mengimbau kembali kenangan memulakan perniagaan V’Asia pada 2010, Azril berkata, beliau melihat potensi besar untuk terjun dalam bidang perniagaan kecantikan dan kesihatan semasa menjalankan perniagaan jualan langsung sebelum itu.

Menurutnya, selain tidak pernah berputus asa dan menggandakan usaha dari semasa ke semasa, apa yang diterapkan adalah erti pengorbanan yang harus ditempuh.

Jelasnya, setiap kali V’Asia berjaya mencatat keuntungan dan diterima baik dalam kalangan pelanggan pada awal perniagaan, beliau sentiasa melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.

“Antara pengorbanan besar yang terpaksa saya lakukan demi memastikan perniagaan terus berkembang dan mempunyai modal mencukupi adalah tidak mengambil gaji.

“Modal daripada gaji yang tidak diambil dan keuntungan yang diperoleh pada awal perniagaan digunakan untuk pusingan modal seterusnya memastikan aliran tunai syarikat yang baik,” katanya yang tidak pernah membuat pinjaman dan berhutang dengan bank bagi mengendalikan V’Asia.

Selain itu tambahnya, biarpun terpaksa menumpang kilang orang pada awal perniagaan, akhirnya V’Asia mempunyai dua buah kilang sendiri di Nilai, Negeri Sembilan bagi memasarkan produk dan memenuhi permintaan dari dalam dan luar negara.

Tambahnya, selain sentiasa memastikan perancangan rapi bagi setiap langkah yang mahu diambil dalam bidang perniagaan, antara resipi kejayaannya adalah mempunyai pasukan atau kumpulan pekerja dedikasi.

“Apa yang boleh saya katakan, selain mempunyai produk berkualiti dan ditawarkan dengan harga berpatutan, usahawan juga tidak perlu takut membuat pelaburan dalam bidang pengiklanan.

“Pengiklanan merupakan langkah terbaik serta tepat bagi menempatkan diri anda dan syarikat begitu dekat dengan pelanggan selain sentiasa diingati pengguna,” katanya mengakhiri perbualan.