Perkara itu diumumkan oleh KWSP hari ini, bagi ahli yang berumur 55 tahun ke bawah dengan pelaburan boleh dilakukan secara terus menggunakan sebahagian daripada jumlah simpanan yang layak dipindahkan dari Akaun Satu serta caj jualan dikenakan serendah sifar hingga 0.5 peratus untuk setiap transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya berbangga dapat memperkenalkan i-Invest kerana kemudahan digital itu memberi kuasa kepada setiap ahli untuk mengawal pelaburan mereka serta kos transaksi hampir sifar.

“Bagi memastikan ahli kami mendapat maklumat secukupnya, i-Invest berfungsi membantu ahli dalam mendapatkan maklumat, membuat perbandingan antara dana unit amanah, serta memilih dana yang sesuai dengan sasaran pelaburan mereka.

“Ini merupakan suatu kebanggaan kerana kami percaya KWSP adalah yang pertama di dunia yang menghasilkan pautan terus antara simpanan persaraan ahli dengan kemudahan pelaburan dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tunku Alizakri berkata, i-Invest menyediakan fungsi yang fleksibel dan mudah untuk ahli membuat pelaburan, transaksi serta memantau pelaburan unit amanah tanpa mengira tempat dan masa.

Jelasnya, kemudahan itu juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, selain memantau pelaburan mereka melalui i-Akaun dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi pelaburan dan sebarang maklumat berkanun yang diperlukan.

“Elemen penting dalam kemudahan pelaburan dalam talian ini adalah caj jualan yang hampir percuma berikutan langkah KWSP dalam meletakkan had sehingga 0.5 peratus sahaja, berbanding caj tiga peratus ke atas transaksi sekiranya dilakukan di luar talian atau melalui ejen,” ujarnya.

Bagi ahli yang berminat untuk menggunakan i-Invest, beliau mengingatkan supaya mengambil langkah waspada dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat tepat atau pendapat perunding profesional sebelum membuat sebarang transaksi.

Sementara itu, bagi ahli yang berumur 55 tahun ke atas boleh menggunakan i-Invest dengan membuat pengeluaran simpanan daripada Akaun 55 atau Akaun Emas melalui i-Akaun, tertakluk kepada mengekalkan baki minimum RM1,000 dalam akaun mereka.

KWSP mengenakan garis panduan yang ketat kepada IPD untuk dituruti bagi memelihara integriti skim itu dan kepentingan ahli yang menyertai skim tersebut serta memastikan IPD memikul tugasan mereka secara berhemah dan bertanggungjawab.

Bagi tempoh 2019 hingga 2020, sebanyak 389 dana daripada pelbagai kategori iaitu ekuiti, aset campuran, pasaran wang dan amanah hartanah telah diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP. -UTUSAN ONLINE