Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli juga optimis penyedia indeks itu tidak akan terburu-buru menggugurkan Malaysia daripada senarai itu dan perkara itu akan hanya diputuskan pada September depan.

“Ini hanyalah satu spekulasi, namun ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan terutama (faktor) rizab tukaran asing Malaysia yang kukuh, sokongan harga minyak yang baik, lebihan akaun semasa dan kadar inflasi yang rendah. Kesemua faktor tersebut juga sepatutnya memaparkan hasil atau pulangan bon tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi perbankan mudah alih RHB terbaharu di sini, hari ini.

Khairussaleh turut mengulangi bahawa pulangan bon pada masa ini bukanlah paparan sebenar asas-asas pasaran Malaysia.

“Pasaran bon kita meliputi kedalaman yang ketara, malah antara yang paling dalam di Asia. Oleh itu sebarang ketidaktentuan akan mudah diserap oleh dana wang nyata di Malaysia. Saya sendiri tidak akan terlalu bimbang dengan spekulasi itu,” katanya.

Penyedia indeks global itu telah meletakkan bon Malaysia dalam senarai pemantauannya selama enam bulan berikutan kebimbangan mengenai aspek kecairan pasaran dan mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penarafan itu diturunkan.

Mengulas lanjut mengenai prestasi kaunter berkaitan indeks yang terjejas, khususnya selepas pengumuman oleh pihak FTSE Russells, Khairussaleh berkata kumpulan perbankan itu percaya prestasi itu bersifat sementara selain seiring dengan aliran pasaran global, termasuk pasaran sedang pesat membangun.

“Kami sebenarnya mengunjurkan prospek Indeks FBM KLCI adalah positif. Pada masa ini misalnya, prestasi yang lemah itu adalah sebahagian daripada ketidaktentuan pasaran dan berkaitan dengan apa yang sedang berlaku di sekitar dunia. Namun, pada masa sama, kami menasihati pelanggan untuk mengutamakan saham tertentu yang berbaloi untuk dilabur,” katanya.

Menerusi Penilaian Klasifikasi Pendapatan Tetap Negara pertamanya, FTSE Russell meletakkan Malaysia dan China di bawah senarai pemantauan pasaran pendapatan tetap yang akan dinilai semula bagi tujuan potensi perubahan terhadap Paras Akses Pasaran masing-masing.

Pada masa ini Malaysia yang dimasukkan ke dalam WGBI sejak 2004, diletakkan pada kedudukan ‘2’ dan dipertimbang untuk diturunkan ke tahap ‘1’ yang akan menjadikan negara ini tidak lagi layak untuk disenaraikan dalam WGBI. - BERNAMA