Pengarah Ekse­kutifnya, Ariffin Sa­birin berkata, tawaran tersebut di­khaskan hanya untuk bakal jemaah haji yang telah mendapat surat tawaran mengerjakan haji tahun ini.

Menurut beliau, bagi mendapatkan perkhidmatan itu mereka hanya perlu melawat laman web Wasiyyah Shoppe dan menghubungi mana-mana perunding terdekat dengan lokasi mereka.

“Perunding boleh datang bertemu bakal jemaah haji di rumah pada bila-bila masa yang dikehendaki bagi memberikan perkhidmatan ini.

“Mereka hanya perlu menunjukkan surat tawaran mengerjakan haji dari Lembaga Tabung Haji kepada perunding sebagai bukti dan mereka layak mendapatkan perkhidmatan ini secara percuma. Promosi wasiat percuma ini bermula 22 April sehingga 2 Ogos,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Ariffin, kandungan wasiat tersebut ­lebih menumpukan kepada fungsi pentadbiran harta pusaka iaitu untuk melantik wasi dan pemegang amanah harta serta menggariskan tanggungjawab pihak-pihak berkaitan sekiranya berlaku sesuatu ­kepada jemaah haji di tanah suci.

Jelasnya, sekembalinya jemaah haji ke tanah air mereka sentiasa mempunyai fleksibiliti untuk mengubah dokumen pada bila-bila masa atau mengekalkannya.

Katanya lagi, berdasarkan pengalaman setiap kali apabila tiba musim haji, bakal jemaah haji akan sibuk membuat pelbagai persediaan termasuklah dari segi perancangan harta.

“Kami faham antara kerisauan utama mereka ialah apa yang akan berlaku kepada urusan harta pusaka sekiranya sesuatu berlaku di tanah suci. Dokumen yang dibuat ini menjamin urusan harta pusaka mereka akan berjalan lancar dan harta pusaka dapat diagih dengan cepat dan cekap.

“Caj biasa Wasiyyah Shoppe bagi penyediaan dokumen ini ialah RM300 manakala caj pasaran kadang-kadang boleh mencecah sehingga ribuan ­ringgit,” ujarnya.