Saya juga telah jelaskan bahawa yang boleh menerima wasiat ini ialah ‘bukan waris’ iaitu pihak yang tidak menerima bahagian mengikut hukum faraid daripada harta pusaka si mati.

Malah, saya dapati banyak wasiat kepada waris dibuat di Malaysia. Pasti semua orang i­ngat filem Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Allahyarham sangat visionary dan karyanya ini berkait rapat dengan unsur perancangan harta dalam keluarga Islam.

Kisah Tiga Abdul

Walaupun pada 1960-an ketika filem itu dibuat, di Malaysia mungkin belum ramai jutawan dan hartawan serta masalah pusaka pun mungkin belum berlaku dengan banyaknya, Allahyarham sudah dapat membayangkan perbalahan keluarga yang akan berlaku kerana harta pusaka.

Di dalam filem itu, Sulaiman Akhlaken iaitu peguam kepada jutawan Ismet Ulam Raja telah membuat wasiat pembahagian harta untuk anak-anaknya iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub.

Ketiga-tiganya telah ‘diwasiatkan’ harta tertentu mengikut bahagian masing-masing dan Abdul Wahub anak bongsu ha­nya ‘diwasiatkan’ rumah pusaka yang buruk.

Sebenarnya jika wasiat itu dibuat kepada waris-waris se­perti kes Ismet Ulam Raja, boleh sahaja waris-waris lain menentang wasiat itu. Abdul Wahub boleh menyatakan ketidaksetujuannya terhadap wasiat berke­naan.

Jika ada waris menentang, wasiat itu akan terbatal dan hak waris tersebut mengikut hukum faraid hendaklah diberikan kepadanya kerana ia hak yang dijamin oleh Islam. Namun, urusan ini hendaklah melalui proses di Mahkamah Syariah untuk di­sahkan.

Sekeping salinan wasiat dise­rahkan kepada saya oleh seorang hamba Allah selepas saya selesai satu ceramah. Makcik ini menunjukkan wasiat itu dan mengatakan ia adalah wasiat adiknya yang telah meninggal dunia.

Di dalam wasiat disebut bahawa separuh daripada harta pusakanya diwasiatkan kepada isteri manakala separuh lagi untuk anak perempuan tunggalnya. Ini bermakna kesemua harta pusakanya diwasiatkan kepada isteri dan anak perempuannya. Si mati tidak meninggalkan sebarang hutang.

Persetujuan waris

Dalam masa sama, si mati ada seorang kakak kandung (makcik yang bertanya ini) dan seorang adik lelaki. Ibu bapa mereka telah lama meninggal dunia. Mengikut hukum faraid, waris yang berhak ke atas harta pusakanya ialah isteri (1/8), seorang anak perempuan (1/2) dan baki­nya adalah milik kakak (satu bahagian) dan adik lelakinya (dua bahagian). Harta pusaka yang ditinggalkan bernilai RM15 juta!

Selepas dikira, bahagian faraid setiap waris ialah isteri (2/16), anak perempuan tunggal (8/16), kakak kandung (2/16) dan adik kandung lelaki (4/16). Dibahagikan RM15 juta harta pusaka ini kepada 16 bahagian, setiap bahagian bernilai RM937,500!

Bahagian kakak kandung ialah dua bahagian menyamai nilai RM1.88 juta manakala empat bahagian adik lelaki bernilai RM3.75 juta. Jika wasiat ini ingin dilaksanakan seperti dihasratkan si mati iaitu kesemua bahagian adalah milik isteri dan anak perempuan tunggal sahaja, persetujuan kakak dan adik kandung itu diperlukan kerana mereka juga adalah waris yang berhak dalam hukum faraid.

Dalam perbincangan ini, nilaian bahagian ini juga perlu dinyatakan secara jelas supaya kakak dan adik kandung ini tahu berapa nilai yang bakal dilepaskan mereka. Jika mereka setuju melepaskan bahagian mereka maka bolehlah wasiat itu dilaksanakan.

Jika mereka tidak bersetuju, wasiat itu terbatal dan hak mereka seperti di atas perlu dise­rahkan.

Ia juga menjadi hak mereka untuk meminta supaya isteri dan anak si mati menebus bahagian mereka pada kadar nilai semasa harta atau pada kadar dipersetujui bersama jika anak dan isteri si mati ingin memiliki keseluruhan harta pusaka se­perti dinyatakan di dalam wasiat itu.

Si kakak kandung (makcik yang bertanya ini), semasa menyerahkan salinan wasiat ini kepada saya awal-awal lagi sudah menyatakan hasrat untuk menentang wasiat ini habis-habisan kerana tidak bersetuju dan mahukan bahagiannya yang bernilai RM1.88 juta itu. Agak-agaknya dapat tak wasiat si mati ini terlaksana?

Pesanan saya kepada semua orang Islam di luar sana. Jika anda benar-benar serius untuk membahagikan harta kepada sesiapa yang anda kehendaki kepada waris mengikut formula yang anda kehendaki, maka kaedah terbaik yang perlu dibuat ialah hibah dan bukannya wasiat.

Ada banyak institusi profesional di luar sana seperti Wasiyyah Shoppe Berhad dan Peguam Syarie yang boleh membantu anda menyediakan hibah. Gunakanlah kesempatan ini jika kita masih berkeupayaan untuk bertindak. Ingat, jika pene­rima wasiat anda ialah waris, ia berisiko tidak berkuat kuasa!