RHL Ventures memberi tumpuan untuk menyokong syarikat pemula niaga dan PKS yang baru berkembang tetapi mempunyai operasi yang signifikan di negara ini.

“Manakala sebahagian besar pelaburan sebelum ini, telah disalurkan untuk mengembangkan pemula niaga yang inovatif dalam ruang lingkup teknologi, dana terbaharu ini akan mempunyai fokus yang lebih luas,” kata firma tersebut dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Rachel Lau berkata kerajaan biasanya akan menerajui pelaburan yang menyokong perniagaan tempatan pada peringkat awal mereka.

“Jadi, kami berasa gembira apabila pentadbiran sekarang mahu menerapkan lebih banyak inovasi dalam sektor perniagaan tempatan.

“Apa yang RHL Ventures mahu lakukan dengan dana ini adalah untuk melabur dalam perniagaan baharu yang ingin membawa idea-idea terkini dan perubahan dalam cara-cara semasa menjalankan perniagaan,” katanya.

Melalui dana terbaharu ini, RHL Ventures sedang mengukuhkan komitmennya bagi memperkasakan perniagaan tempatan yang mempunyai visi untuk membawa impak yang signifikan di Malaysia dan rantau yang lebih besar.

Setakat ini, firma tersebut telah melabur dalam perniagaan yang inovatif dalam syarikat-syarikat pemula niaga teknologi Malaysia seperti perkhidmatan perisian penjagaan kesihatan, HealthMetrics dan platform makanan ringan yang menyihatkan, Signature Market. - BERNAMA