Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, pasaran bon Malaysia khususnya terus memberangsangkan dengan pasaran sekunder merekodkan jumlah dagangan harian purata seba­nyak RM5.4 bilion setakat tahun ini berbanding purata tiga tahun lalu sebanyak RM3.6 bilion.

Katanya, mudah tunai dalam pasaran FX mencatatkan jumlah dagangan harian purata yang mapan sebanyak AS$12 bilion (RM49.54 bilion), dengan akaun pertukaran FX dan akaun pasaran hadapan mencakupi hampir separuh daripada jumlah purata.

“Peningkatan aktiviti perlindungan nilai yang dinamik oleh pelabur institusi global menjadikan akses kepada pasaran lebih baik dan seterusnya menambah mudah tunai dalam pasaran hadapan FX.

“BNM dan SC akan terus mengadakan perbincangan dengan peserta utama pasaran dan pengantara untuk menambah kedalaman dan keluasan pasaran kewangan Malaysia. Ini bagi memastikan pasaran boleh terus diakses dan pada masa sama kestabilan dan ketelusan pasaran kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Minggu lalu Bloomberg me­laporkan prestasi pasaran saham Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia dengan mo­dal pasaran Bursa Malaysia susut RM157 bilion sejak Pilihan Raya Umum ke-14 manakala penanda aras pasaran FBM KLCI ditutup pada 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei 2018.

Morgan Stanley turut ­melaporkan Malaysia boleh kehilangan hampir AS$8 ­bilion (RM33.10 bilion) jika FTSE Russell menggugurkan hutang Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Global (WGBI) berikutan kebimbangan mengenai kecairan pasaran, sekali gus menjejaskan prestasi mata wang tempatan dan pasaran bon.

Dalam kenyataan itu, BNM dan SC memaklumkan telah mengadakan pertemuan pada Mesyuarat Dua Hala BNM dan SC ke-16 untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai bidang kepentingan masing-masing, termasuk inisiatif berkaitan kemapanan, pengawalan terhadap aset digital dan daya tahan pasaran kewangan.

Katanya, BNM dan SC telah berbincang mengenai inisiatif berkaitan dengan agenda kemapanan, terutama Rangka Kerja Pelaburan Mapan dan Bertanggungjawab (SRI) SC dan Strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) BNM.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pengawal selia kewangan itu bersetuju untuk memulakan kajian penyelidikan secara bersama untuk membentuk taksonomi (taxonomi) yang jelas mengenai aktiviti ekonomi yang mapan, bermula dengan aktiviti pemerolehan dana dan amalan pemberian pinjaman.

“Sementara itu, berhubung dengan pengawalan terhadap aset digital, BNM dan SC telah memeterai pengaturan penyelarasan yang akan memudahkan inovasi industri, aktiviti pemerolehan dana bagi syarikat yang baru memulakan operasi dan perdagangan aset digital.

“Pengaturan ini juga akan menyokong pengawasan ­aktiviti aset digital dan memastikan risiko sistemik dan langkah-langkah integriti kewangan terus berkesan,” katanya.