Seorang peniaga berkata, kenaikan dalam pasaran getah adalah disebabkan peningkatan harga minyak global.

“Penanda aras antarabangsa minyak mentah melonjak 0.9 peratus kepada AS$59.19 (RM247.04) setong manakala niaga hadapan US West Texas Intermediate menokok satu peratus kepada AS$55.44 (RM231.39) setong. Ini bermakna sentimen pasaran yang lebih baik bagi komoditi itu,” katanya.

Selain itu, pasaran juga memberi reaksi positif kepada seruan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang mahu penggunaan getah tempatan dipertingkatkan dalam projek-projek infrastruktur berikutan krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang boleh menjejaskan permintaan global bagi getah asli.

ITRC terdiri daripada Thailand, Indonesia dan Malaysia yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran getah asli dunia.

Di peringkat serantau, penanda aras bagi Bursa Komoditi Getah (TOCOM) ditutup lebih tinggi pada 175.1 yen sekilogram berbanding 174.5 yen sekilogram yang direkodkan pada Jumaat sebelum ini.

Sementara itu, pada pukul 12 tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 bertambah tiga sen kepada 546 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 441 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 meningkat 3.5 sen kepada 546 sen sekilogram dan lateks pukal adalah satu sen lebih tinggi kepada 440 sen sekilogram. - BERNAMA