Oleh itu, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pemberian kontrak, khususnya bagi projek besar seperti fasa kedua projek Pan Borneo Sabah dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang telah lama ditunggu oleh penggiat industri.

Presiden, Foo Chek Lee berkata, banyak kontraktor Malaysia telah menyatakan kebimbangan dan “laparkan” pekerjaan baharu kerana kebanyakan projek sedia ada akan siap sama ada menjelang akhir tahun atau pertengahan 2020.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mungkin menghadapi isu kewangan pada masa ini, projek pakej kecil boleh diberikan, sementara pelaksanaannya dilanjutkan untuk tempoh lebih lama.

“Ini, sekurang-kurangnya akan membolehkan kontraktor kecil terus berada dalam industri. Industri akan terhenti sekiranya mereka tidak mempunyai pekerjaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Gabungan MBAM 2019 di sini hari ini.

Foo berkata, kebimbangan berterusan dibangkitkan kebanyakannya oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana “syarikat besar” dapat mengelakkan masalah ini dengan mendapat projek luar negara.

Selain itu, persatuan itu juga memohon kepada kerajaan untuk memudahkan proses kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia berikutan proses semasa melibatkan 26 prosedur berbanding hanya satu sahaja di Singapura, ia mengambil masa yang lama.

Ini mewujudkan halangan bagi kontraktor untuk memenuhi tarikh akhir projek, selain berdepan masalah kekurangan pekerja, kata Foo.

Beliau berkata, beberapa permohonan yang ditolak adalah disebabkan oleh kesilapan kecil seperti kesilapan ejaan dan pengauditan yang boleh diperbetulkan dan dikompaun.

Mengenai standard minimum penginapan untuk pekerja, Foo berkata anggota MBAM sedia bekerjasama dengan kerajaan dan sudah bersedia melaksanakan peraturan sekiranya ia dikawal selia.

Beliau berkata, belanjawan akan dikira di bawah kos permulaan, yang mungkin memberi kesan kepada produk akhir.

Ini, bagaimanapun boleh dikurangkan dengan bantuan daripada kerajaan dari segi subsidi tanah, serta peratusan kos dan cukai pematuhan yang lebih rendah, tambahnya.

- BERNAMA